“Pernah orang ramai terpinga-pinga” Nenek kongsi cerita punca dipanggil dengan nama lelaki

“Pernah juga orang terpinga-pinga apabila nama yang dipanggil lalu muncul saya di hadapan mereka.

“Apa tidaknya nama lelaki namun yang datang seorang perempuan sekiranya berurusan di tempat orang tidak mengenali saya,” kata Alias Ali, 69, dari Kampung Cheting dekat sini.

Menurutnya yang lebih mesra di panggil Kak Yah berkata, dia tidak mengambil hati sekiranya ada individu yang kehairanan apabila mengetahui dia memiliki nama seperti seorang lelaki.

Katanya, nama berkenaan didaftarkan arwah neneknya yang ketika itu mengalami masalah pendengaran hingga menyebabkan namanya tersilap didaftarkan.

“Sepatutnya ayah yang daftarkan nama saya selepas dilahirkan, namun ayah ketika itu mengalami kecederaan akibat kakinya terkena kapak.

“Oleh itu, nenek yang membuat pendaftaran kelahiran saya dan tidak menyangka akan memiliki nama seperti ini sehingga kini.

“Saya pernah membuat permohonan untuk menukar nama, namun selepas melalui proses yang rumit, saya kemudian akur untuk terus menggunakan nama yang unit bagi saya ini,” katanya yang juga ibu kepada lima cahaya mata.

Tambahnya, sebelum ini dia berhajat untuk menukar nama daripada Alias kepada Kamariah, namun memandangkan prosedur yang rumit dia membatalkan hasrat itu.

Menurutnya yang juga nenek kepada 13 orang cucu berkata, keunikan namanya itu membuatkan individu di tempat dia berurusan biasanya kehairanan kerana menyangkakan dia seorang lelaki.

Katanya, tidak kurang yang terkejut dan ada juga yang ketawa kecil apabila mengetahui namanya itu, namun dia tidak mengambil hati kerana dia menganggap ia satu gurauan.

Kak Yah berkata, tiga lagi adik-beradiknya mempunyai nama biasa kerana tidak tersalah didaftarkan dan di ‘usia senja’ kini, dia sudah tidak mahu membuat pertukaran nama.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*