Sepasang suami suami isteri didakwa di Mahkamah Sesyen di sini semalam atas tiga pertuduhan memperdagangkan tiga wanita ke Yaman, sejak Mei tahun lalu.
Bagaimanapun peniaga pakaian, Mohd Azfar Abd Ghafar, 37 dan Khadiah Yusoff, 31, mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Rosli Ahmad.
Mengikut semua pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa bersama-sama memperdagangkan tiga wanita berusia 19, 27 dan 38 tahun, dengan memperdayakan mereka bagi maksud eksploitasi aktiviti yang menyalahi undang-undang, di bawah Seksyen 415/417 Kanun Keseksaan.
Kesalahan didakwa dilakukan di sebuah rumah tidak bernombor, di wilayah Tarim, Yaman, antara 25 Mei 2023 hingga 4 Julai lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 12 Akta Antiperdagangan Orang Dan Antipenyeludupan Migren 2007, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Amir Haniff Ahijman tidak menawarkan ikat jamin kepada kedua-dua tertuduh memandangkan kes berkenaan melibatkan tiga mangsa warga tempatan, yang dieksploitasi ke negara yang bergolak.
“Namun sekiranya mahkamah mahu memberikan ikat jamin jaminan, pendakwaan mencadangkan, setiap tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM50,000 bagi setiap kes.
“Ia termasuk syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes ini selesai dan melaporkan diri di balai polis berdekatan, sekali setiap bulan,” katanya.
Baca juga :
- Lagi kes buli di UPNM… Retak tulang rusuk dan belakang, pelatih tahun satu dipercayai dipijak
- Buli di UPNM: Ibu bapa ingin lihat anak pakai jubah graduasi, bukan ‘kain kafan’ – Tajuddin
- Awas! Berdengkur semasa tidur boleh jadi punca kematian, ini penjelasan Dr Malar
Bagaimanapun, peguam, Datuk Adnan Seman merayu kadar itu dikurangkan kerana keluarga tertuduh tidak berkemampuan dan hanya mengharapkan hasil sewaan rumah.
“Tiga mangsa itu hanya mengikut mereka untuk melanjutkan pengajian dan tiada elemen keganasan atau pemerdagangan manusia.
“Saya mohon, anak guam tidak perlu melaporkan diri di balai polis, memadai syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah,” katanya.
Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Hakim Rosli membenarkan setiap tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin dan memenuhi syarat tambahan yang dicadangkan pihak pendakwaan.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 16 Disember ini.
Leave a Reply