Perbezaan hukuman sebatan syarie dan kes sivil, ini penjelasannya

SELEPAS solat Jumaat, 27 Disember 2024 akan tercatatlah sejarah di Terengganu apabila seorang pesalah kes khalwat akan menjalani hukuman enam kali sebatan.

Mohd Affendi Awang, 42 adalah individu pertama di negeri berkenaan yang dikenakan hukuman sebatan di khalayak ramai.

Hakim Kanan Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu, Kamalruazmi Ismail menetapkan hukuman itu akan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, Kuala Terengganu dengan disaksikan oleh 70 tetamu.

Pada 20 November, Mohd Affendi didakwa mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat dan turut dikenakan denda RM4,000, dan enam bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda berkenaan.

Tidak serik dengan kesalahan pertama pada 11 Julai 2023, Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman mendenda bapa kepada tiga anak itu RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat dan pada 25 Januari lalu dia sekali lagi didakwa melakukan kesalahan sama di mana Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu menjatuhkan hukuman empat sebatan dan denda RM3,000.

Oleh kerana hukuman sebatan syarie ini jarang berlaku, tentu ramai pihak tidak maklum bahawa adanya perbezaan kaedah pelaksanaannya berbanding kesalahan kes sivil.

Tatacara hukuman yang dipakai mahkamah syariah tertakluk di bawah peruntukan Seksyen 125 dan 126 Enakmen Tatacara Jenayah Syariah di bawah takzir (kuasa) negeri masing-masing.

Bagi memahami perbezaan antara hukuman sebatan melibatkan kesalahan kes syariah dan sivil, berikut disenaraikan antara fakta untuk pengetahuan masyarakat:

Syariah – Dijalankan secara terbuka untuk mendidik

Sivil – Hukuman dilaksanakan secara tertutup di penjara

Syariah – Kadar kesakitan tidak maksimum

Sivil – Menyakitkan hingga mencederakan pesalah

Syariah – Sebatan melibatkan empat kesalahan hudud iaitu mukadimah zina, zina, qazaf dan minum arak

Sivil – Hukuman sebat dikenakan terhadap pesalah kes rasuah, pecah amanah, jenayah kolar putih, rogol dan gangguan seksual

Syariah – Pesalah berpakaian lengkap termasuk menutup wajah bagi menjaga aib (mengikut undang-undang negeri masing-masing)

Sivil – Pesalah memakai apron di pinggang dengan tangan dan punggung diikat pada rangka berbentuk A.

Syariah – Saiz rotan sederhana; panjang rotan tidak melebihi 1.22 meter dan tebal tidak lebih 1.25 sentimeter

Sivil – Rotan nipis untuk kesalahan kes rasuah, pecah amanah dan jenayah kolar putih, manakala rotan tebal untuk kes rogol dan gangguan seksual.

Syariah – Hayunan tukang sebat dengan kekuatan sederhana tanpa angkat tangan melebihi kepala supaya tidak melukakan kulit pesalah

Sivil – Tukang sebat akan memulakan hukuman dengan memegang rotan secara mendatar di atas kepala dan mengayun ke punggung pesalah sekuatnya

Syariah – Selepas sekali sebatan, rotan perlu diangkat, bukan ditarik dan sebatan seterusnya harus dilakukan di bahagian berbeza tidak boleh pada muka, kepala, perut, dada atau bahagian sulit pesalah

Sivil – Hukuman perlu dijalankan dalam satu sesi dan jika diarah dihentikan oleh pegawai perubatan maka hukuman tidak akan diteruskan dan diganti dengan hukuman pengurungan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*