“Perasaan seram sejuk mula datang…” Lelaki kongsi cerita tangisan hiba si gadis yang bunuh diri setelah terjun ke sungai

Saya memandu kereta merentasi Jambatan Sultan Ismail yang menghubungkan bandar Muar dan seberang Tanjung Agas di Johor. Kenderaan di atas jambatan itu sesak bertali arus. Sebaik berada di tengah-tengah jambatan, tiba-tiba fikiran saya melayang, teringat suatu peristiwa lebih kurang 15 tahun lalu. Kejadian di mana seorang gadis bertindak membunuh diri dengan terjun dari jambatan tersebut.

Ketika itu, sebagai anggota Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM), sudah menjadi rutin saya untuk mengendalikan pelbagai kes. Ada kes dahsyat dan ngeri yang turut saya uruskan seperti mengutip cebisan daging mangsa kemalangan, kepala mangsa pecah, mati terbakar dan macam-macam lagi.

Tapi kes wanita bunuh diri di jambatan itu antara yang segar dalam ingatan saya. Masih saya ingat, ketika itu pihak kami mendapat panggilan daripada polis memaklumkan ada satu kejadian bunuh diri di Jambatan Sultan Ismail, Muar.

Saya dan rakan-rakan diminta segera membantu kerja mencari dan menyelamat. Pukul 6.00 petang, saya tiba bersama bot bersama beberapa orang anggota lain. Saya lihat, bomba dan polis marin sudah pun tiba di lokasi. Waktu itu, saya belum tahu lagi identiti mangsa secara jelas dan mengapa mangsa bertindak membunuh diri.

Orang awam hanya melaporkan, ada seorang wanita terjun dari jambatan tersebut pada pukul 5.30 petang sebelum hilang dalam air. Petang itu juga, operasi mencari dan menyelamat dijalankan. Malangnya, sehingga pukul 7.30 malam, jasad wanita itu gagal ditemui. Disebabkan hari gelap, operasi ditangguhkan.

Pulang ke rumah, baru saya terima informasi tentang identiti wanita yang terjun itu. Rupa-rupanya, mangsa merupakan penduduk kampung saya. Malah, saya kenal gadis itu termasuk semua ahli keluarganya.

Ya, gadis itu memang cantik. Tubuhnya kurus, kulitnya putih gebu. Usianya pun masih muda. Tapi, kenapa gadis itu bunuh diri? Apa puncanya?

Esoknya, operasi mencari disambung. Dari pagi membawa ke malam, mayat gadis itu masih gagal ditemui. Berdasarkan pengalaman saya, memang agak sukar untuk mencari mayat gadis itu.

Kebiasaannya, pada hari pertama mayat mangsa akan tenggelam. Pada hari kedua pula, mayat mula terapung tetapi akan tenggelam semula apabila cuaca panas atau sewaktu matahari terik. Hanya pada hari ketiga, barulah mayat betul-betul terapung atau timbul di permukaan air kerana jasad sudah membengkak. Tubuh mayat dipenuhi air.

Lagi pula, mangsa dikatakan terjun sekitar pukul 5.30 petang. Waktu itu, air sedang pasang dan kemungkinan besar mayat mangsa akan bergerak naik ke hulu sungai. Ada kemungkinan juga mayat akan turun semula ke hilir apabila air surut. Itu pun jika mayat tidak tersangkut pada akar pokok bakau.

Masuk hari ketiga, operasi mencari diteruskan. Bot dipandu rakan setugas saya meluncur perlahan di tepi tebing paya bakau. Selepas Asar, bot saya sudah pergi sejauh tiga kilometer dari lokasi mangsa terjun.

Semasa melalui suatu kawasan, mata saya terpandang sesuatu yang terdampar di gigi air. Bila saya amati, sah objek itu ialah mayat!

Bila dihampiri, memang benar objek tadi mayat seorang wanita yang berada dalam keadaan tersembam ke lumpur dan masih lengkap berpakaian baju kebaya. Separuh badannya sudah terbenam dalam lumpur.

Saya turun dari bot dan menghampiri mayat tadi lalu membalikkannya. Ya Allah! Wajah mayat itu sudah tiada. Mukanya sudah membengkak dan isi-isi sudah terlerai. Tiada rupa lagi. Perut mayat itu juga sudah mengembung bagai mahu pecah. Baju kebaya yang dipakainya sudah sendat kerana perutnya mengembang seperti belon.

Adakah itu mangsa yang dicari? Saya belum pasti kerana muka yang hancur menyebabkan sukar untuk membuat pengecaman. Tapi berdasarkan pakaian, sama seperti yang digambarkan semasa mangsa bertindak terjun dari jeti.

Petang itu, mayat dibawa ke Jeti Sabak Awor. Di sana, mayat diserahkan kepada anggota polis. Saya bersama anggota lain pula bersiap-siap untuk mengemas peralatan dan pulang semula ke pejabat. Operasi mencari dihentikan.

Dalam perjalanan pulang, saya mendapat tahu memang benar mayat itu adalah mangsa sebenar. Ia disahkan oleh ahli keluarganya sendiri.

Tangisan Misteri

Sampai di pejabat, saya bersihkan badan. Bot yang digunakan dalam operasi pula diletakkan di belakang pejabat. Sepatutnya saya perlu membasuh bot tersebut kerana air daripada mayat membuatkan bot berbau hanyir dan busuk. Tapi kerana terlalu penat, saya tangguhkan dahulu dan bercadang untuk membasuhnya keesokan hari.

Malam itu ketika sedang terbaring di pejabat, saya terdengar sesuatu. Ia seperti suara esakan tangis seorang perempuan. Bunyinya mendayu-dayu dan begitu sedih sekali.

Saya jengah muka ke tingkap, mencari arah bunyi itu. Bila diamati, seperti datang dari arah bot yang digunakan tadi.

“Takkan hantu gadis tu kut,” bisik hati saya. Perasaan seram sejuk mula datang. Bulu roma pula tiba-tiba meremang.

Saya hanya mematikan diri dalam bilik. Di luar masih jelas suara tangisan yang mendayu-dayu itu. Semakin lama mendengar suara tangisan itu, seolah-olah membuatkan saya terfikir sesuatu. Tangisan itu seperti mengharapkan sesuatu daripada saya.

Saya terus membaca surah al-Fatihah di dalam hati dengan niat disedekahkan kepada arwah gadis tersebut. Selesai baca, tangisan itu semakin kuat. Kali kedua, saya membaca al-Fatihah dengan suara lantang pula. Selesai bacaan, serta-merta suara tangisan merintih itu hilang.

Keesokan harinya, baru saya tahu punca gadis yang dipanggil Zara itu membunuh diri. Sedih saya mendengarnya. Singkat benar fikiran gadis itu, memilih menyelesaikan masalah dengan membunuh diri. Cara yang dipilih itu salah di sisi agama dan berdosa besar.

Saya diberitahu Zara sebenarnya menjadi korban konflik dalaman antara teman lelaki dan keluarga. Zara sebenarnya telah mengandung anak luar nikah. Bila Zara mengadu pada keluarga, keluarganya tak mahu ambil tahu. Zara dibuang keluarga sendiri. Senang cakap, pandai buat pandai tanggung.

Kemudian, Zara jumpa pula teman lelakinya dan menceritakan tentang kandungannya itu. Tetapi teman lelaki pula tak mahu bertanggungjawab. Semasa dalam kereta, berlaku perang mulut. Sampai di jambatan tersebut, Zara bertindak keluar dari kereta dan mengugut untuk membunuh diri.

Waktu itu teman lelakinya hanya membiarkan sahaja. Dia fikir Zara tak akan lakukannya. Lagi satu, lelaki itu juga tak dapat memberhentikan keretanya di atas jambatan untuk memujuk kerana akan menghalang laluan.

Apabila berpatah balik, rupanya Zara bertindak nekad. Belum sempat teman lelakinya berbuat apa-apa, Zara terus terjun ke sungai Muar.

Zara nekad menamatkan hidupnya dengan tragis di dalam sungai itu. Teman lelaki pula hanya mampu melihat kekasihnya terkapai-kapai dalam air, sebelum tenggelam dan hilang dari mata.

Kejadian itu agak menyedihkan saya. Sanggup gadis itu memilih jalan berdosa untuk selesaikan masalah. Sudahlah buat dosa berzina, selesaikan pula masalah dengan cara membunuh diri. Memang masalahnya di dunia ini selesai. Tapi bagaimana pula nasibnya di akhirat sana? Tidak takutkah dia dengan dosa dan hukuman azab yang menanti?

Sebab itu saya mahu pembaca mengambil pengajaran daripada kisah ini. Setiap masalah ada penyelesaiannya. Sekiranya kita berbuat salah, masih ada jalan untuk kembali ke jalan lurus.

Jika ada antara ahli keluarga punyai masalah, cubalah membantu sebaik mungkin. Begitu juga sekiranya mereka buat salah. Janganlah dihina atau dipinggirkan daripada keluarga. Sebaliknya bimbing dan bantulah mereka kembali ke pangkal jalan. Itulah yang sebaik-baiknya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*