Perarakan bendera China: Nga buat laporan polis terhadap Pesuruhjaya PAS Perak

Laporan polis dibuat terhadap seorang pemimpin PAS berhubung dakwaan Ahli Parlimen Teluk Intan yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming terlibat dalam perarakan mengibarkan bendera negara asing, termasuk China.

Nga berkata, pegawai khasnya membuat laporan polis di Teluk Intan hari ini bagi pihaknya. Beliau juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap Pesuruhjaya PAS Perak Razman Zakaria.

“Saya telah arah peguam saya untuk kaji kes ini; jika didapati berasas, kita jumpa di mahkamah,” katanya kepada pemberita di Simpang Pulai, Perak.

Razman, yang juga ketua pembangkang DUN Perak mendakwa majlis itu dirasmikan oleh Nga.

Menafikan dakwaan itu dan menyifatkannya sebagai suatu ‘pembohongan’, Nga menjelaskan ketika itu beliau berada di Kuala Lumpur untuk menghadiri mesyuarat.

“Saya mesyuarat di KL, macam mana saya boleh ada di dua tempat (pada masa sama)?”

Razman membuat dakwaan itu berdasarkan video tular yang menunjukkan bendera negara asing, termasuk China, dikibarkan berhampiran Menara Condong Teluk Intan.

Beliau juga mencadangkan acara itu mendapat anjuran kerajaan.

Bagaimanapun, Nga menjelaskan acara itu dianjurkan oleh Persatuan Kebudayaan Guan Gong, sebuah kuil tempatan.

Katanya, perarakan yang dipertikaikan itu adalah sebahagian Festival Kebudayaan Guan Gong Antarabangsa, dihadiri perwakilan negara Asean, yang turut dianjurkan di negeri lain.

Terdahulu, pengerusi kuil itu, Soon Boon Hua, memohon maaf dan menjelaskan, bendera China itu dikibarkan oleh perwakilan asing, bukan dirancang penganjur.

Nga berkata, penganjur dan peserta mesti peka terhadap undang-undang negara dan wajib mematuhinya.

“Saya harap penganjur lebih sensitif, saya mahu warga asing hormat undang-undang negara kita,” katanya.

Dalam pada itu, Nga turut membidas PAS dengan berkata, parti itu mempunyai tabiat mengeluarkan kenyataan fitnah sebelum menarik balik.

“Berapa kali dah fitnah, sebelum ini fitnah perdana menteri, (selepas itu) tarik balik, mohon maaf…itu mmg SOP mereka.

“Selepas fitnah, kena dakwa, mohon maaf, tarik balik…itu ulang siaran yang harus buka mata rakyat,” katanya.

Ketua Polis Perak, Azizi Aris, berkata siasatan berhubung perkara itu sedang berjalan.
Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*