Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) diarah menyediakan laporan lengkap dan terperinci berhubung rampasan 336 kilogram (kg) heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, pada 13 Mac lepas.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata dia mahu laporan itu dibentangkan kepadanya dalam tempoh dua minggu, bertujuan mengetahui bagaimana dan punca kejadian itu berlaku, yang disifatkannya sebagai mengaibkan negara.
“Tentang bagaimana penyeludupan besar dadah ke Australia yang mengaibkan kalau dibuktikan sah penyeludupan besar-besar itu dari Pelabuhan Klang, Selangor. Soalnya bagaimana boleh dalam sistem yang canggih sekarang ini boleh bolos begitu besar jumlahnya.
“Jadi saya dah minta pihak kastam yang bertanggungjawab untuk memberikan laporan penuh tentang punca apa yang berlaku, bagaimana dah 12, 16 kali hal demikian berlaku sehingga ditangkap di Australia dan menunjukan kelemahan sistem kita yang mesti diatasi,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penerapan Nilai-nilai Murni dan Iftar Kementerian Dalam Negeri (KDN) Madani di Sungai Petani, Kedah hari semalam.
Anwar berkata dia turut mengarahkan polis daripada Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Siasatan Jenayah Komersial untuk membantu siasatan dan mahu laporan penuh dan lengkap dibentangkan bagi memastikan penyeludupan seumpama itu dihalang daripada berulang.
Menurutnya, perkara itu bukan soal kecil atau berkaitan jumlah dadah yang diseludup bernilai ratusan juta semata-mata, tetapi yang ditekankan adalah kelemahan dalam sistem keselamatan negara.
“Dalam soal kita berbicara soal tata kelola pengurusan kerajaan yang baik, menentang rasuah dan penyalahgunaan kuasa, hal-hal begini masih berlaku. Oleh demikian kita tidak harus tolak ansur, kita harus lebih keras tindakan kita terhadap penjenayah,” katanya.
Pada 10 April lepas, media melaporkan pihak berkuasa Australia merampas 336 kg heroin dianggarkan bernilai AUD268.8 juta (RM789.56 juta) dalam sebuah kontena penghantaran dari Malaysia ke Brisbane, 13 Mac lepas.
Dadah itu dilaporkan disorok dalam dua blok konkrit simen, masing-masing seberat 500kg dan semakan mendapati penghantaran itu diisytiharkan sebagai aksesori panel solar yang tiba 13 Mac lalu di Pelabuhan Brisbane dari Malaysia.
Sementara itu, Anwar turut merakamkan penghargaan kepada pasukan keselamatan dan penguatkuasaan di bawah KDN bersama dengan Angkatan Tentera Malaysia yang melaksanakan peranan penting dalam menjamin keselamatan negara.
“Benar kita catat pertumbuhan, benar kita dapat adakan pilihan raya yang bebas, benar kita boleh hidup dengan selesa, tetapi jangan kita lupa bahawa ini berkat keamanan yang kita capai dan tonggaknya pasukan polis dan pasukan keselamatan,” katanya.
Majlis berkenaan turut dihadiri Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Yang Dipertua Dewan Rakyat Johari Abdul dan Ketua Polis Negara Acryl Sani Abdullah Sani.
Leave a Reply