Penyanyi ‘sohor’ Kelantan, 5 individu ditempatkan di Penjara Narathiwat

Seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan dan lima individu yang ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Golok dekat sini pada minggu lalu berada dalam baik sepanjang hampir seminggu menjalani tempoh tahanan reman di Penjara Narathiwat.

Jurucakap Penjara Narathiwat berkata, buat masa ini, keenam-enam suspek termasuk tiga wanita itu dipisahkan mengikut jantina di sel tahanan reman atau sementara bersama 500 tahanan lelaki dan 480 orang bagi wanita.

Menurutnya, tiada perbezaan layanan pihak penjara terhadap kesemua tahanan tidak kira warganegara Thailand atau orang asing.

“Buat masa ini, enam rakyat Malaysia yang ditahan itu berada dalam keadaan baik-baik sahaja. Mereka memakai baju penjara berwarna coklat sepanjang tempoh tahanan. Bagi wanita Islam, mereka dibenarkan untuk memakai tudung.

“Cuma, mereka dipisahkan mengikut jantina di sel-sel bersama tahanan lain yang dicekup atas kes dadah, bergaduh, mencuri dan samun.

“Semua tahanan dan banduan yang ditempatkan di sini merupakan pesalah yang menjalani hukuman penjara kurang daripada 30 tahun. Bagi banduan kes bunuh, mereka ditempatkan Penjara Songkhla.

“Tiada diskriminasi terhadap banduan dari Malaysia. Makanan yang disediakan juga halal dan tukang masak juga merupakan orang Islam. Itu merupakan kelebihan kepada tahanan yang ditempatkan di penjara di tiga wilayah Selatan Thailand,” katanya ketika ditemui di Penjara Narathiwat di sini semalam.

Menurutnya, selain itu, pihak penjara juga ada menyediakan sesi ceramah agama dan mengajar al-Quran kepada tahanan beragama Islam yang dikendalikan oleh pelajar universiti secara bersemuka atau dalam talian.

Mengulas lanjut, beliau berkata, Penjara Narathiwat mampu memuatkan seramai 2,400 orang dan kapasiti keseluruhan tahanan ketika ini adalah 2,879 orang tahanan.

Menurutnya, daripada jumlah kesemua tahanan itu, hanya 30 rakyat Malaysia termasuk enam suspek kes dadah yang ditahan baru-baru ini ditempatkan di penjara tersebut.

“Mengikut prosedur operasi standard (SOP) penjara di negara ini, seorang tahanan diberikan ruang seluas 1.2 meter persegi untuk mereka tidur. Kita sudah membuat garisan berbentuk kotak untuk menandakan ruang bagi seorang tahanan.

“Apabila bukan masa tidur, mereka boleh bergerak di sekitar kawasan bilik tahanan itu malah boleh bersenam dengan tahanan lain di situ. Justeru, kami menyangkal bahawa ada pihak yang mengatakan layanan teruk diberikan pihak Penjara Narathiwat kepada tahanan,” ujarnya.

Beliau berkata, ahli keluarga juga dibenarkan untuk melawat tahanan seminggu sekali dalam tempoh 15 minit, namun perlu membuat permohonan secara dalam talian terlebih dahulu.

Menurutnya, Penjara Narathiwat baru empat tahun beroperasi selepas ia dipindahkan dari tapak asal penjara tersebut yang terletak di bandar Narathiwat.

“Semua keperluan tahanan di Penjara Narathiwat ditanggung oleh kerajaan. Tiada bayaran dikenakan kepada tahanan seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

Baca :

“Justeru, semua pihak terutamanya rakyat Malaysia seboleh-bolehnya perlu mengelakkan daripada membuat sebarang kesalahan apabila masuk ke Thailand. Meskipun prosedur dan tatakelola penjara di sini baik, elakkan daripada membuat salah,” ujarnya.

Kosmo! sebelum ini melaporkan, seorang penyanyi wanita tersohor Kelantan dan lima individu yang ditangkap bersama 6,000 biji pil kuda di sebuah hotel di Golok, Thailand pada minggu lalu ditahan reman selama 84 hari atau hampir tiga bulan.

Jurucakap Mahkamah Wilayah Narathiwat berkata, tahanan reman itu dikeluarkan oleh pihak mahkamah untuk pihak polis menjalankan siasatan berhubung kes tersebut.

Menurutnya, kesemua individu itu akan dihantar ke Penjara Narathiwat sepanjang tempoh tersebut.

Mengikut undang-undang di Thailand, kesalahan memiliki 6,000 pil kuda boleh dikenakan hukuman penjara antara 10 hingga 15 tahun dan denda 200,000 baht atau RM25,880.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*