Penyanyi popular era 1980-an, Rohana Jalil menghembuskan nafas terakhir pada usia 68 tahun di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), jam 11.33 malam tadi.
Allahyarham yang dimasukkan ke HCTM sejak April lalu akibat kebocoran usus. Kesihatannya semakin merosot dan berada dalam situasi kritikal serta sedarkan diri sejak tengah hari.
Beliau meninggal dunia di sisi suami, Jahangir Khan, anak-anak dan ahli keluarga terdekat.
Khabar duka itu turut disahkan teman rapat Allahyarham yang juga penyanyi, Haiza.
Sebelum disahkan meninggal dunia, satu sesi bacaan yasin dan doa selamat diadakan secara dalam talian sekitar pukul 8.30 malam tadi yang turut disertai ramai rakan artis, peminat serta petugas media.
Rohana atau nama sebenarnya Dara Abd Jalil sebelum ini ditempatkan di unit rawatan rapi (ICU) HCTM, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak 28 Mac lalu.
Penyanyi Rayuanku itu kemudian dipindahkan ke unit dependensi tinggi (HDU), namun masih dalam pemantauan ketat.
Terdahulu, pengurusnya yang dikenali sebagai Jepun dalam satu wawancara memaklumkan tahap kesihatannya menurun.
Kebocoran usus dialami ibu kepada pelakon Kilafairy itu juga menyebabkan kuman merebak ke beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang.
Jenazah akan dimandikan dan disolatkan di Masjid Al-Falah USJ 9, Subang Jaya sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam USJ 21 sebelum Zuhur hari ini.
Turut baca : Dilabel pengkhianat, share resipi bangsa sendiri, wanita india ini bidas komen netizen
Leave a Reply