Lebih 140 penumpang dan anak kapal Singapore Airlines (SIA) yang terbabit dalam insiden gelora udara ekstrim, sebelum mendarat cemas di Lapangan Terbang Suvarnabhumi, Bangkok, Thailand, semalam, tiba dengan pesawat lain di Singapura, hari ini.
Insiden berlaku ketika pesawat dalam perjalanan dari London ke Singapura dan ia menyebabkan penumpang dan anak kapal ‘terhempas’ di sekeliling kabin.
Seorang penumpang warga United Kingdom (UK), berusia 73 tahun, meninggal dunia akibat disyaki mengalami serangan jantung dan sekurang-kurangnya 30 orang pula cedera.
“Saya melihat orang ramai dari seberang lorong ‘mendatar’ sepenuhnya, melambung ke siling dan jatuh ke lantai dalam kedudukan yang benar-benar janggal.
“Mereka mendapat luka besar di kepala, gegaran otak,” kata Dzafran Azmir, seorang pelajar berusia 28 tahun yang juga penumpang pesawat terbabit kepada Reuters, selepas tiba di Singapura.
Gambar bahagian dalam pesawat menunjukkan kesan pada panel kabin atas, dengan topeng oksigen dan panel yang tergantung di siling dan bagasi, dalam keadaan berselerak.
Seorang penumpang berkata, beberapa orang terhantuk pada lampu di atas tempat duduk.
SIA membawa 131 penumpang dan 12 anak kapal menerusi penerbangan bantuan dari Bangkok yang tiba di Singapura, 5 pagi waktu tempatan.
Terdapat 211 penumpang dengan majoritinya warga Australia, UK dan Singapura, dan 18 anak kapal dengan mereka yang cedera bersama keluarga kekal di Bangkok.
“Bagi pihak SIA, saya ingin mengucapkan takziah kepada keluarga dan orang tersayang mangsa yang meninggal dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif SIA, Goh Choon Phong dalam mesej video.
Menurut Goh, pesawat itu mengalami gelora udara secara tiba-tiba dan juruterbang kemudian mengisytiharkan kecemasan perubatan dan melencong ke Bangkok untuk pendaratan cemas.
Sementara itu, Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB) sedang meneliti insiden itu, dan Lembaga Keselamatan Pengangkutan Kebangsaan Amerika Syarikat (AS) juga menghantar wakilnya untuk sokongan.
Turut baca :
Leave a Reply