Penternak kerbau cedera parah diserang beruang matahari di Dungun

Seorang penternak kerbau berdepan detik cemas selepas diserang seekor beruang matahari sewaktu sedang memantau haiwan ternakannya di dalam sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Telembuh, Jerangau Sungai, di sini semalam.

Dalam kejadian pada pukul 11 pagi itu menyebabkan mangsa, Nik Azhar Daud, 40, cedera parah pada bahagian leher, lengan dan kaki kanan.

Isteri mangsa, Roshuhaida Mokhtar, 39, berkata, sewaktu kejadian, suaminya sedang berehat di sebatang pokok sambil memantau kerbau-kerbau ternakan agar tidak terlepas memasuki Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) berhampiran.

“Menurut cerita suami saya (Nik Azhar), seekor beruang bersaiz besar muncul menerpa lalu menggigit leher dia.

“Berlaku pergelutan sebelum haiwan buas itu menggigit pula lengan dan kaki suami,” katanya kepada Kosmo! di Kampung Nerang di sini hari ini.

Roshuhaida berkata, suaminya yang terdesak telah menghunus sebilah parang yang berada di pinggangnya sebelum menikam badan beruang matahari terbabit.

Dia berkata, tindakan itu menyebabkan haiwan liar tersebut melepaskan suaminya dan berlalu pergi.

“Suami saya yang cedera parah kemudiannya menghubungi abangnya (Nik Roslan, 55) untuk meminta pertolongan sebelum dihantar ke hospital,” katanya.

Baca juga :

34 serpihan tulang manusia ditemui belakang kuarters JKR di Kuala Terengganu

Remaja perempuan cedera ditimpa belon pelampung

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*