Pengikut GISBH didakwa perdagang 10 kanak-kanak

Seorang pengikut Global Ikhwan Services and Business Holdings (GISBH) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Klang hari ini atas pertuduhan memperdagangkan 10 kanak-kanak berusia lapan tahun, bulan lalu.

Asmat@ Asmanira Muhamad Ramli, 44, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Zulqarnain Hassan, lapor Malaysia Gazette

Mengikut kertas pertuduhan, wanita itu didakwa memperdagangkan 10 kanak-kanak berusia lapan tahun bagi maksud eksploitasi di Pusat Jagaan Cahaya Kasih Bestari, Kampung Melayu Subang, Shah Alam, pada 11 September lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 415 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan turut dibuat mengikut Seksyen 14 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Baca juga :

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan sebatan.

Prosiding dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Sabrina Zubairi, manakala tertuduh diwakili peguam Muhd Zaim Rosli.

Tiada jaminan ditetapkan memandangkan kes itu memperuntukkan hukuman maksimum dan tertuduh masih dalam tahanan Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA).

Mahkamah menetapkan 13 Dis depan sebagai tarikh sebutan kes serta serahan dokumen.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*