Penggantungan keahlian MP Kuala Kangsar ‘tutup cerita’ ia diugut

Jawatankuasa Lembaga Disiplin Bersatu menggantung keahlian Ahli Parlimen Kuala Kangsar Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid bagi tempoh empat tahun, berkuat kuasa semalam.

Setiausaha Agung Bersatu Hamzah Zainudin berkata jawatankuasa itu bersidang semalam bagi meneliti laporan pelanggaran disiplin dan pelanggaran perlembagaan parti oleh Iskandar Dzulkarnain.

Ini selepas Iskandar Dzulkarnain menyatakan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Setelah diteliti dengan sehalusnya segala bukti dokumentasi, keseriusan kesalahan, implikasi serta impak kepada parti dan juga surat penjelasan daripada Iskandar Dzulkarnain, Jawatankuasa Lembaga Disiplin mendapati beliau bersalah di bawah Fasal 22.1 (f) Perlembagaan Bersatu.

“Sehubungan dengan itu, Iskandar Dzulkarnain digantung keahliannya berserta kesemua jawatan dalam parti yang dipegang bagi tempoh empat tahun berkuatkuasa dari tarikh keputusan dan hukuman, iaitu 3 November 2023,” kata Hamzah.

Awal bulan lalu, Iskandar Dzulkarnain dan Ahli Parlimen Labuan Suhaili Abdul Rahman – kedua-duanya anggota Bersatu – menyuarakan sokongan kepada Anwar.

Antara lain, mereka berkata keputusan itu ekoran peningkatan kos sara hidup di kawasan mereka.

Hamzah bagaimanapun mendakwa SPRM mengugut Iskandar Dzulkarnain supaya menyokong Anwar atau menghadapi pertuduhan rasuah di mahkamah.

SPRM menafikan dakwaan itu.

Hamzah sebelum ini juga berkata PN sedang mengumpul segala maklumat berhubung dakwaan ugutan sebelum membuat laporan polis.

Anwar kini menerima sokongan 149 ahli parlimen melepasi majoriti dua pertiga dan hukuman ini dengan sendirinya telah tutup cerita yang MP ini diugut.

Sebab kalau betul diugut, atau disogok, sepatutnya Bersatu berikan sokongan kepadanya dan tolong dia dedahkan identiti yang mengugutnya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*