Individu dikenali sebagai Tuan Usu yang disyaki bertanggungjawab mengendalikan aliran kewangan GISB Holdings Sdn. Bhd. (GISBH) dilanjutkan reman bagi membantu siasatan polis.
Perintah reman selama lima hari ke atas lelaki dan isterinya yang berusia 50-an itu dibenarkan Timbalan Pendaftar Nurshahira Abdul Salim di Mahkamah Majistret di sini, pagi tadi.
“Tempoh reman ke atas individu termasuk ‘Tuan Usu’ itusejak Isnin lalu berakhir hari ini. Permohonan lanjutan reman kemudian dibenarkan selama lima hari sehingga 3 Oktober ini,” katanya ketika ditemui pemberita.
Tambah beliau, siasatan antaranya dijalankan mengikut Seksyen 31 (a) Akta Kanak-kanak 2001 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran 2022.
Dalam pada itu, mahkamah sama turut membenarkan permohonan untuk menempatkan 15 kanak-kanak yang merupakan anak kepada seorang pemimpin kanan GISBH di rumah perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
Sembilan kanak-kanak lelaki dan enam perempuan berusia tiga hingga 16 tahun akan ditempatkan di rumah perlindungan JKM di Johor dan Kuala Lumpur.
Terdahulu, pasangan itu tiba menaiki trak polis dengan dikawal ketat anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), kira-kira pukul 10 pagi.
Sejurus selesai, mereka yang berpakaian lokap jingga dibawa untuk tahanan di Lokap Berpusat Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.
Kosmo! kelmarin melaporkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan individu penting dalam rangkaian GISBH dikenali Tuan Usu itu diberkas di Butterworth, Pulau Pinang, Sabtu minggu lalu menerusi Op Global Fasa 4.
Turut baca :
Leave a Reply