Pengasuh tepuk muka sebelum hempas bayi ditahan

Pengasuh sebuah taska swasta di Mutiara Rini, Skudai yang disyaki mengasari bayi dalam video tular di media sosial, direman empat hari hingga Jumaat ini.

Perintah itu dikeluarkan Majistret R Salini terhadap suspek wanita berusia 21 tahun itu bagi membolehkan siasatan lanjut dibuat terhadapnya mengikut Seksyen 31(1)(A) Akta Kanak-kanak 2001.

Ketua Polis Johor, Kamarul Zaman Mamat, berkata suspek ditahan kira-kira 2 pagi tadi di kawasan Bandar Selesa Jaya, Skudai.

“Hasil siasatan yang dijalankan mendapati kejadian berlaku di sebuah taska yang berada di kawasan Mutiara Rini.

“Mangsa adalah bayi perempuan berusia 11 bulan dan bayi lelaki berusia sembilan bulan,” katanya menerusi kenyataan media, menurut Harian Metro.

Menurutnya, siasatan awal mendapati taska berkenaan tidak mempunyai lesen sah untuk beroperasi.

Beliau turut meminta orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian untuk menghubungi pegawai penyiasat kes di talian 019-8822403 untuk membantu siasatan.

Terdahulu, tular satu video berdurasi seminit lapan saat yang menunjukkan seorang wanita dipercayai pengasuh dilihat memukul bayi sedang menangis dengan menepuk kepalanya.

Dia juga dilihat meniup muka bayi berkenaan hingga mengalami kesukaran bernafas.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*