Pengampunan atau pengurangan hukuman, banduan kena kemuka permohonan, kata istana

Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa prerogatif untuk memberi ampun, menunda hukum atau lega hukum bagi sebarang kesalahan yang dilakukan di Wilayan Persekutuan.

Dalam kenyataan dikeluarkan hari ini, Istana Negara memberitahu Sultan Ibrahim memiliki kuasa itu mengikut Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

Kata Istana Negara, Agong juga berhak meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang dijatuhkan mahkamah bagi kesalahan tersebut.

Kuasa itu, kata Istana Negara, dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang dipengerusikan sendiri oleh Agong.

“Oleh itu mana-mana pihak yang ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, pemohonan berkenaan hendaklah dikemukakan oleh banduan terbabit untuk dipertimbangkan oleh lembaga pengampunan pada mesyuarat akan datang,” katanya.

Pada masa sama Istana Negara meminta semua pihak menghormati perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan.

Kenyataan itu dikeluarkan beberapa hari sebelum sesetengah pihak bercadang untuk berkumpul sebagai tanda menunjukkan solidariti terhadap Najib Razak di Putrajaya minggu depan.

Sebelum ini isu pengampunan menjadi perhatian ekoran dakwaan wujud titah tambahan oleh Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah – ketika baginda berkhidmat sebagai Agong – berhubung pelaksanaan hukuman ke atas bekas perdana menteri berkenaan.

Pada 2 Feb tahun lalu Malaysiakini melaporkan, Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan bersetuju memberi pengurangan hukuman penjara yang dikenakan ke atas Najib.

Dia kini ditahan di Penjara Kajang.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan petang itu, lembaga terbabit menyatakan, dengan pengurangan separuh hukuman tersebut, bekas perdana menteri terbabit dijangka dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Kenyataan Bahagian Hal Ehwal Undang-undang Jabatan Perdana Menteri menyatakan denda yang perlu dibayar oleh Najib ialah sebanyak RM50 juta.

Jumlah asal yang diputuskan mahkamah sebelu ini ialah RM210 juta.

Pada 28 Dis lalu Jabatan Peguam Negara (AGC) menyatakan permohonan Najib untuk menghabiskan baki hukuman penjaranya di rumah perlu dibuat melalui saluran yang betul.

Kata AGC, Sultan Ibrahim menitahkan agar semua permohonan pengampunan bagi kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan mesti mengikut “tatacara dan saluran yang telah ditetapkan” dan bukannya cara lain.

Najib sebelum dihukum penjara 12 tahun dan denda setelah didapati bersalah atas tuduhan rasuah dan salah guna kuasa dalam kes SRC International Sdn Bhd melibatkan dana RM42 juta.

Baca juga :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*