Penduduk berdepan detik cemas, terkejut depan rumah tiba-tiba jadi gaung besar ‘sekelip mata’

SEORANG penduduk di Jalan Wawasan, Puchong, Selangor berdepan detik cemas apabila melihat hadapan rumahnya tiba-tiba menjadi gaung besar, berikutan kejadian tanah runtuh di kawasan itu.

Mencerita detik cemas itu, Abd Rahim Md Ali, 72, berkata, beliau dan anggota keluarganya bergegas keluar dari rumah apabila terdengar bunyi kuat seperti pokok yang patah, dan sebaik pintu dibuka, mereka tergamam apabila mendapati hadapan rumah mereka telah menjadi seperti gaung.

“Lebih mengejutkan jalan di hadapan rumah saya juga sudah runtuh dan kereta Honda City yang di parkir tepi jalan turut kelihatan terjunam dalam gaung,” katanya.

Menurutnya, sebelum kejadian itu berlaku beliau sedang bersiap untuk menunaikan solat Maghrib bersama keluarga dan terdengar jeritan beberapa jiran sebelah rumah yang melihat kejadian itu dan suasana menjadi agak panik.

“Selang beberapa minit kemudian, pasukan bomba dan polis tiba di lokasi kejadian dan meminta kami mengosongkan rumah buat sementara atas faktor keselamatan,” katanya dan menambah beliau dan keluarganya kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara di Dewan Serbaguna Majlis Bandaraya Subang Jaya.

Seorang lagi penduduk, Tung Ei Lee, 42, berkata, kejadian itu merupakan pertama kali berlaku sejak puluhan tahun beliau tinggal di situ.

Turut baca :

“Sewaktu kejadian saya sedang mengemas rumah, apabila tiba-tiba jiran sebelah rumah datang ketuk pintu beritahu ada tanah runtuh. Saya meluru keluar dan lihat banyak ranting pokok jatuh, saya segera menyelamatkan beberapa dokumen penting dan meninggalkan rumah,” katanya yang kini menetap di rumah adik-beradik.

Pada Sabtu, 29 penghuni sembilan rumah teres di Taman Wawasan Puchong, diarah berpindah atas faktor keselamatan, susulan kejadian tanah runtuh berhampiran kediaman mereka.

Sementara itu, Ahli Parlimen Subang, Wong Chen berkata, penduduk yang terlibat boleh datang ke pejabat Ahli Parlimen untuk mendapatkan bantuan RM1,000 esok bermula pukul 10 pagi.

“Kalau boleh minggu depan kita tambah lagi, kerana kerja-kerja pembaikan ini mungkin memakan masa dua minggu. Jadi kita sediakan sedikit peruntukan memadai untuk mereka pergi hotel dahulu,” katanya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*