Penantian suami tunggu kepulangan Cikgu Istiqomah sejak lapan bulan berakhir perkhabaran duka

Penantian seorang suami menunggu kepulangan insan tercinta yang hilang sejak lapan bulan lalu berakhir dengan perkhabaran duka apabila polis mengesahkan mayat wanita yang ditemui tanpa kepala dan tangan di Kampung Tanjung Rimau, Pulau Sebang, Melaka adalah isterinya.

Mohd Yusof Mokhtar, 35, yang masih terkejut dengan berita it u bagaimanapun reda dengan ketentuan Ilahi selain mahu suspek yang membunuh dengan kejam isterinya, Istiqomah Ahmad Rozi, 33, dikenakan hukuman setimpal.

Jelasnya, perbuatan suspek yang disyaki merupakan kenalan lelaki Istiqomah itu adalah kejam dan tidak berperikemanusian.

“Harapan saya kalau boleh saya nak hukuman yang setimpal untuk si pelaku kalau boleh hukuman gantung, orang rumah saya merupakan insan yang taat kepada suami.

“Dia isteri yang baik, kalau ada apa-apa akan dia minta izin dengan saya.

“Saya nak keadilan untuk dia (isteri), memang kejam dia (pelaku) buat macam itu,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Taman Kota Masai di sini hari ini.

“Anak sulung saya sebelum ini tak mahu pergi sekolah kerana kawannya selalu bertanya dan beritahu ibunya sudah hilang. Anak sulung saya banyak ikut isteri yang merupakan seorang pendiam dan suka tolong orang,” katanya.

Selain Nuara, pasangan itu mempunyai dua lagi anak iaitu Muhammad Naufal Amzar, 6, dan Nayla Aisya, 4.

Sementara itu, ibu mangsa, Saleha Ya, 58, berkata, kali terakhir dia bertemu arwah yang merupakan anak sulung daripada dua beradik itu ketika bercuti kira-kira dua hari sebelum Istiqomah dilaporkan hilang.

Menurutnya, ketika bercuti bersama-sama keluarga arwah di Morib, Selangor, mangsa tidak menunjukkan sebarang perubahan sehingga dimaklumkan berita kehilangan anaknya itu oleh Mohd Yusof.

Katanya, sepanjang kehilangan anaknya itu, dia bersama-sama suami, Ahmad Rozi Latimin, 64, yang tinggal di Pasir Mas, Kelantan, telah membuat ujian DNA di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam dan IPD Alor Gajah.

Ahmad Rozi pula berkata, jenazah arwah akan dibawa balik dan dikebumikan di Kampung Kubang Badak, Pasir Mas, selepas selesai proses tuntutan jenazah.

“Sekarang kami sedang menunggu proses bedah siasat di hospital siap, tidak tahu bila, apabila siap jenazah akan dibawa terus ke Pasir Mas untuk dikebumikan di sana,” katanya

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*