Pemilik tangan putus dalam pergaduhan rebut kawasan sudah dikenal pasti

Perebutan kawasan pengedaran dadah antara dua kumpulan, dipercayai menjadi motif pergaduhan berhampiran Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, di sini, semalam.

Dalam kejadian dilaporkan sekitar pukul 11.03 pagi itu, satu pergelangan tangan sebelah kiri telah ditemui berdekatan lokasi kebakaran kereta.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, siasatan mendapati, tiga lelaki warga tempatan berusia 26 hingga 30 tahun telah diserang sekumpulan 20 lelaki bersenjatakan parang dan kayu.

Katanya, akibat serangan itu, seorang mangsa mengalami kecederaan parah putus pergelangan tangan kiri manakala dua rakannya masing-masing hampir putus pergelangan tangan kiri dan putus urat di tapak tangan kiri.

“Ketiga-tiga mereka kini mendapat rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB). Rakaman percakapan telah diambil di mana mereka memberitahu diserang 20 lelaki memakai topeng.

“Punca kejadian pergaduhan itu dipercayai berpunca daripada perebutan kawasan pengedaran dadah,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, berikutan maklumat tersebut, tangkapan telah dibuat ke atas tiga lelaki berumur antara 23 hingga 37 tahun bagi membantu siasatan.

Katanya, kesemua suspek akan dibawa ke Mahkamah Majistret Ipoh esok untuk permohonan reman bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 dan Seksyen 148 Kanun Keseksaan.

“Usaha sedang dijalankan bagi mengesan suspek lain yang masih bebas. Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohamad Syafiq Mohd. Ghazali di talian 013-7962051 bagi membantu siasatan,” katanya.

Terdahulu Kosmo! melaporkan, anggota bomba yang menjalankan operasi memadam kebakaran sebuah kereta jenis Toyota Vios telah menemui pergelangan tangan manusia dipercayai tangan kiri di atas jalan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*