Pemandu tabur paku di jalan raya dicekup

Seorang pemandu kereta yang diburu polis selepas satu video tular memaparkan suspek menabur paku di atas jalan di persimpangan lampu isyarat Jalan Ipoh-Lumut, Pusing, dekat Batu Gajah, Perak, akhirnya berjaya ditahan.

Ketua Polis Batu Gajah, Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata lelaki berusia 45 tahun itu ditahan di sekitar Changkat Larang, Lahat, pada sekitar jam 3 pagi tadi.

“Suspek mempunyai satu rekod jenayah berkaitan dadah serta ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine.

“Suspek direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat. Bagaimanapun, motif insiden tersebut masih dalam siasatan,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, polis memaklumkan sedang mengesan pemandu kereta jenis Nissan Almera yang dirakam membuang paku dari tingkap kenderaannya di jalan raya.

Video berdurasi 24 saat yang dirakam oleh pemandu kenderaan lain juga tular sejak semalam.

Polis juga menerima satu laporan daripada pengguna jalan raya yang memaklumkan tayar keretanya bocor selepas melalui jalan berkenaan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*