Pemandu lori rompak penyampai berita tidak mengaku salah

Pemandu lori rompak penyampai berita tidak mengaku salah.

Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan merompak seorang penyampai berita tempatan yang mana video kejadian di Damansara Perdana itu tular di media sosial, minggu lalu.

Tertuduh Muhammad Qayyum Mazlan, 32, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Mengikut pertuduhan, bapa anak satu itu didakwa merompak sebuah beg jenama Fossil bernilai RM500 dan wang RM100 milik Khairul Rizuan Azizan, 34, di tepi jalan di Damansara Perdana di sini pukul 3.40 petang pada 5 Mei lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pemandu lori rompak penyampai berita tidak mengaku salah

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Norhashimah Hashim tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan itu serius melibatkan kerugian harta selain pertuduhan tersebut tidak boleh dijamin.

“Terdapat kebarangkalian tertuduh mengganggu saksi pendakwaan selain kes ini menjadi tular dan mendapat perhatian umum. Pihak pendakwaan membantah sebarang jaminan,” kata Norhashimah.

Bagaimanapun peguam Kailash Sharma yang mewakili tertuduh, memohon mahkamah membenarkan anak guamnya diikat jamin dengan alasan tertuduh merupakan penanggung tunggal keluarga.

“Tertuduh bekerja sebagai pemandu lori sambilan dan mempunyai seorang anak berusia lapan tahun yang masih bersekolah. Sekiranya jaminan dibenarkan, penjamin yang hadir pada hari ini adalah ayah tertuduh,” kata peguam itu.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, mahkamah membenarkan tertuduh dikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mahkamah turut mengenakan syarat tambahan bahawa tertuduh perlu melapor diri di balai polis berdekatan sekali sebulan dan dilarang mengganggu saksi-saksi pendakwaan dan mangsa.

Tarikh 20 Jun ini ditetapkan untuk sebutan kes.

Pada 6 Mei lalu, media melaporkan, Khairul Rizuan cedera diseret akibat ketika mengejar suspek yang memecahkan tingkap kereta miliknya di Damansara Perdana, di sini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Superintendan Ku Mashariman Ku Mahmood berkata, kejadian itu berlaku pada pukul 3.40 petang.

Menurut polis, mangsa menuju ke kereta miliknya jenis Honda City yang diletakkan di tepi jalan dan melihat suspek sedang menendang cermin kenderaan sebelah penumpang hadapan sehingga pecah.

Suspek telah mengambil beg kerja milik mangsa yang mengandungi komputer riba dan barangan peribadi.

Ekoran itu, mangsa menjerit dan suspek terus masuk ke dalam kereta dipandu jenis Perodua Myvi untuk melarikan diri. Mangsa cuba mengejar suspek dan berlaku pergelutan sehingga beg milik lelaki itu terjatuh keluar dari kereta.

Kejadian itu berjaya dirakam melalui kamera papan pemuka (dashcam) dari sebuah kereta yang kemudian tular di media sosial.

Turut baca

Gempar!!! Dunia semakin diancam kemarau, 700 juta penduduk dunia berdepan risiko

Sebak!!! Nahas ngeri 5 pelajar di Perak, “Anak kata nak balik terus…”

 

1 Trackback / Pingback

  1. Gempar !!! Kes bunuh diri di kalangan belia di Selangor membimbangkan - Sengat Daily

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*