Pemandu bas sekolah bikin ‘panas’, rakam murid perempuan ditahan

Pemandu bas sekolah yang memuat naik kandungan murid di akaun TikTok miliknya ditahan di Simpang Renggam, awal pagi tadi.

Ketua Polis Johor, M Kumar, berkata lelaki berusia 24 tahun itu ditahan pada 2.57 pagi susulan laporan dibuat semalam.

Katanya, polis turut merampas telefon bimbit dipercayai digunakan untuk memuat naik hantaran berkenaan di akaun media sosialnya.

Siasatan terperinci sedang dijalankan dan polis mengalu-alukan kerjasama ibu bapa kanak-kanak yang terdapat dalam rakaman video itu supaya tampil bagi membantu siasatan, katanya dalam kenyataan.

Sebelum ini, tular di TikTok seorang lelaki yang juga pemilik akaun ‘Abang Bas’ menggelar seorang penumpang dipercayai murid sekolah rendah sebagai ‘crush’ dan ‘kesayangan’.

Kumar berkata, pemandu bas itu kini disiasat mengikut Seksyen 15(a)(III) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 kerana membawa maksud seksual mengikuti atau memerhati atau menghubungi seseorang kanak-kanak melalui apa sahaja cara secara berulang atau kerap.

Katanya, suspek turut disiasat mengikut Seksyen 15(2) Akta Kanak-kanak 2001, kerana menyiarkan gambar kanak-kanak melalui apa-apa perantara elektronik.

Bagi kedua-kedua kesalahan, suspek berdepan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali selain denda maksimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun, atau kedua-duanya sekali, katanya.

Sehubungan itu, Kumar menasihatkan ibu bapa sentiasa memantau aktiviti, perkembangan emosi serta fizikal anak-anak supaya perlakuan jenayah seksual terhadap kanak-kanak dapat dikesan awal selain pelakunya dikenakan tindakan undang-undang.

Semalam, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri mengarahkan pegawai Jabatan Pembangunan Kanak-kanak (JPKK) membuat laporan polis mengenai satu hantaran tular di media sosial.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*