Pelik tapi benar. Kejadian aneh yang sukar diterima logik akal

MEMANG sukar diterima logik akal. Mungkin itu yang anda katakan selepas membaca kisah ini. Sebenarnya, ada banyak lagi kejadian aneh di dunia ini. Ini hanya secebis daripada pelbagai kisah misteri dan paranormal yang membuatkan orang sering tertanya-tanya tentang kebenarannya.

1. PADA tahun 1995, seorang lelaki bernama Terry Cottle membunuh diri dengan menembak kepalanya dengan pistol. Terry yang sebelum itu telah mendaftar dirinya sebagai penderma organ, telah mendermakan hatinya kepada Sonny Graham, seorang lelaki berusia 57 tahun.

Misteri bermula apabila Sonny bertemu dengan isteri Terry untuk berterima kasih atas sumbangan organ suaminya. Yang menghairankan, Sonny jatuh cinta pandang pertama kepada isteri Terry. Akhirnya, mereka berkahwin pada tahun 2004.

Selepas empat tahun menjadi suami isteri, hubungan mereka mempunyai masalah sama seperti apa yang pernah dilalui oleh Terry bersama bekas isterinya itu. Dan sama seperti Terry, Sonny juga bertindak mengakhiri riwayatnya dengan menembak kepalanya sendiri.

2.TERESITA Basa, seorang pekerja hospital, telah dijumpai mati pada suatu hari pada tahun 1976. Tubuhnya telah ditikam bertubi-tubi dan mayatnya juga telah dibakar. Suspek utama kes tersebut ialah seorang lelaki bernama Allen Showery tetapi polis tidak mempunyai bukti yang kukuh untuk mengaitkan Allen dengan kejadian pembunuhan kejam tersebut.

Setahun selepas kejadian pembunuhan itu, Remy Chua yang juga merupakan pekerja di hospital yang sama mendakwa sering kali terserempak dengan bayangan Teresita di kawasan hospital. Lama-kelamaan, Remy mula berperangai pelik. Dia mula menyanyikan lagu-lagu yang tidak pernah diketahuinya sebelum ini.

Suatu hari, Remy pergi menemui keluarga Teresita. Yang menjadi tanda tanya apabila Remy mula berbual dengan keluarga Teresita menggunakan suara Teresita sendiri. ‘Teresita’ di dalam badan Remy memberitahu bahawa pembunuhnya yang sebenar ialah Allen.

Pihak polis yang kemudiannya menggeledah rumah Allen berjaya menemui pelbagai barangan peribadi milik Teresita di sana menyebabkan Allen akhirnya mengaku tentang pembunuhan kejam yang telah dilakukannya. Sehingga ke hari ini, tiada penjelasan dapat diberikan tentang bagaimana ‘Teresita’ boleh masuk ke dalam badan Remy Chua. Yang pasti, ‘Teresita’ hadir untuk memastikan penjenayah yang membunuhnya ditangkap dan dihukum.

3.PADA tahun 1973, seorang kanak-kanak lelaki bernama Greg Garret sedang bermain seorang diri di laman belakang rumahnya yang terletak di Enfield,Illinois apabila dia diserang. Dia bukan diserang oleh manusia. Gambaran yang diberikan oleh Greg tidak menyerupai haiwan yang pernah dilihat oleh manusia.

Keadaan ini menyebabkan legenda ‘Enfield Horror‘ kembali disebut-sebut oleh penduduk setempat. Makhluk mengerikan yang menjadi mimpi ngeri buat penduduk di Illinois sama seperti apa yang digambarkan oleh Greg. Haiwan misteri tersebut dikatakan berketinggian 5 kaki, mempunyai tiga kaki dan bentuk badannya lebih kurang seperti T-rex, sejenis dinosaur. Matanya pula merah menyala. Sehingga kini,makhluk misteri itu tidak pernah dapat ditangkap namun dikatakan masih bebas berkeliaran dalam kawasan hutan di sana.

4.TIADA siapa yang mempercayai kata-kata Doris Bither sewaktu dia mengadu diganggu oleh roh-roh jahat yang kerap kali mencederakannya secara fizikal. Ramai menganggap Doris hanya mereka-reka cerita, apatah lagi wanita itu dikenali sebagai seorang kaki botol.

Sehinggalah pada 22 Ogos 1974, sekumpulan penyiasat paranormal bertindak datang untuk melihat dengan mata mereka sendiri tentang kejadian-kejadian misteri yang didakwa Doris di kediamannya di Culver City, California. Mereka menyaksikan sendiri bagaimana Doris diganggu oleh tiga entiti yang didakwanya. Tambah mengejutkan apabila terdapat cahaya-cahaya halus yang nampak seperti tali mula muncul di sekeliling Doris.

Cahaya misteri yang berwarna kehijauan itu dikatakan mengelilingi Doris. Salah seorang penyiasat paranormal pula jatuh pengsan ketika kejadian itu berlaku. Misteri yang mengelilingi Doris tidak dapat diselesaikan sehinggalah dia meninggal dunia kerana serangan jantung tidak berapa lama kemudian.

5.SEKITAR tahun 2008, seorang remaja perempuan berusia 18 tahun pindah masuk ke sebuah flat di Cornwall, United Kingdom. Clarissa Glenn, mula mengadu ternampak kelibat bayang-bayang di dalam rumahnya beberapa hari kemudian. Ditambah pula dengan cerita penduduk setempat yang kononnya penghuni sebelum Clarissa telah mati dengan menggantung diri di rumah tersebut. Lebih menakutkan apabila Clarissa sering bermimpi dia menggantung dirinya sendiri di rumah itu.

Suatu hari pada bulan November tahun yang sama, Clarissa tidur dan tidak bangun lagi. Dia ditemui mati menggantung diri di rumah yang sama. Mengapa keadaan tersebut menimpanya masih menjadi misteri sehingga ke hari ini.

6.Suatu malam pada tahun 90-an, Brian Bethel, seorang wartawan berjalan ke arah keretanya yang diparkir di luar kawasan panggung wayang apabila dia didatangi oleh dua orang kanak-kanak. Daripada ketinggian mereka, Brian menganggarkan kanak-kanak tersebut berusia dalam lingkungan 10 tahun. Namun, Brian merasakan sesuatu yang tidak kena dengan kehadiran dua orang kanak-kanak tersebut.

Dua kanak-kanak misteri itu meminta untuk tumpang pulang ke rumah. Merasakan ada yang tidak kena dengan kedua mereka, Brian menolak permintaan mereka dan cepat-cepat masuk ke dalam keretanya. Tiba-tiba, anak mata kedua kanak-kanak misteri itu berubah menjadi warna hitam pekat. Mereka mengetuk tingkap kereta Brian sambil berkata mereka tak akan dapat masuk ke dalam kereta kecuali jika Brian membenarkan mereka.

Brian yang ketakutan pantas meninggalkan kawasan tersebut. Brian menulis pengalamannya dalam sebuah blog dan yang memeranjatkan apabila ramai orang daripada seluruh dunia memberikan respons dan berkongsi pengalaman sama mereka berhadapan dengan kanak-kanak aneh bermata hitam yang digelar ‘the children’ dalam pelbagai situasi.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*