Pelajar Tingkatan 3 ‘diratah’ lima lelaki bergilir-gilir

Polis menahan reman lima lelaki selepas disyaki merogol seorang remaja perempuan 15 tahun secara bergilir di sebuah asrama di sini, Isnin lalu.

Timbalan Ketua Polis Perak, Deputi Komisioner Zulkafli Sariaat, berkata penahanan dibuat susulan laporan ibu mangsa jam 10.22 malam apabila anak gadisnya tidak balik rumah selepas sesi persekolahan jam 1.30 tengah hari.

Katanya, mangsa mulanya pergi berjumpa teman lelaki dan berkeliaran di sekitar Batu Gajah sebelum berkenalan dengan lelaki yang baharu dikenali yang kemudian mengajak mangsa pergi ke sebuah asrama di Batu Gajah.

“Mangsa keluar makan bersama kenalan baharu terbabit yang kemudiannya mengajaknya ke sebuah asrama. Ketika tiba di asrama itu, ada lima lelaki di situ.

“Mangsa seterusnya ditawarkan masuk ke sebuah bilik kosong untuk berehat sebelum lima lelaki berkenaan secara bergilir masuk ke bilik itu dan merogol mangsa,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Menurut Zulkafli, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Batu Gajah dapat mengesan mangsa pada keesokannya (Selasa) di asrama terbabit dan membawanya ke IPD Batu Gajah untuk disoal siasat.

“Soal siasat mendapati mangsa dirogol oleh lima lelaki di asrama berkenaan pada hari sama laporan polis dibuat ibu mangsa (Isnin).

“Susulan maklumat itu, sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Batu Gajah menahan lima lelaki berumur antara 18 hingga 27 tahununtuk siasatan lanjut,” katanya.

Semakan rekod lampau mendapati dua daripada lima suspek itu, berumur 27 tahun masing-masing mempunyai satu rekod jenayah dan satu kesalahan berkaitan dadah.

Permohonan reman kelima-lima suspek dibenarkan oleh majistret selama enam hari bermula 23 Oktober (semalam) hingga 28 Oktober ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 375b Kanun Keseksaan iaitu kerana merogol secara berkumpulan.

Zulkafli menasihati masyarakat terutama ibu bapa dan penjaga agar peka tentang keberadaan anak-anak di bawah jagaan mereka dengan memantau serta membuat pemeriksaan berkala pada telefon bimbit anak-anak supaya tidak terdedah dengan kenalan yang tidak dikenali dalam media sosial.

“Dalam kes ini, disyaki ibu mangsa tidak membuat pemantauan kerana mangsa sebenarnya pergi berjumpa teman lelaki di suatu tempat dan berkeliaran di sekitar Batu Gajah serta berkenalan dengan lelaki yang baharu dikenali,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*