Pekung bapa jadikan anak tempat melepas ‘nafsu serakah’ berulang kali sejak 7 tahun lalu terbongkar

PENGKALAN HULU: Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki melakukan sumbang mahram ke atas anak gadisnya yang berusia 17 tahun sebagai tempat melempiaskan nafsu serakahnya secara berulang kali sejak tujuh tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Pengkalan Hulu, Deputi Superintendan Zulkepli Ibrahim berkata laporan polis berhubung perkara itu dibuat oleh seorang kaunselor sekolah berusia 37 tahun, tengah hari semalam selepas dimaklumkan oleh mangsa semasa satu sesi kaunseling yang berlangsung pada hari yang sama.

Zulkepli berkata dalam keterangannya mangsa memaklumkan kejadian pemerkosaan itu kali pertama berlaku pada tahun 2017 iaitu semasa mangsa berumur 10 tahun dan ianya berlanjutan sehingga tahun 2020 iaitu semasa mangsa berusia 14 tahun.

“Menurut mangsa itu lagi, kejadian ini pernah diadukan kepada ibu saudaranya yang kemudian bertindak berhadapan dengan suspek namun suspek menafikan perkara itu,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menurut Zulkepli, susulan laporan polis itu yang dibuat sekitar jam 3.40 petang semalam, suspek yang berusia 43 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pengkalan Hulu di pekarangan IPD itu.

Katanya, permohonan reman ke atas suspek dibenarkan oleh Majistret Mahkamah Pengkalan Hulu selama tujuh hari bermula hari ini (Jumaat) sehingga 30 Mei (Khamis depan).

Kes disiasat mengikut Seksyen 376B Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak melebihi 30 tahun dan sebatan sekiranya disabitkan kesalahan.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*