Pekerja restoran nasi kandar maut ditetak sekumpulan lelaki gunakan parang

Seorang pekerja restoran nasi kandar warga Myanmar maut akibat ditetak sekumpulan lelaki menggunakan senjata parang di Taman Sepadu Jaya, Tasek Gelugor, di sini pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata, mangsa maut di lokasi kejadian akibat tetakan di bahagian belakang lengan kanan, kepala dan belakang badan dalam kejadian kira-kira pukul 3.20 pagi.

Menurutnya, hasil maklumat yang diperoleh mendapati mangsa berusia 38 tahun sebelum itu diserang empat lelaki tidak dikenali di restoran terbabit.

“Keempat-empat suspek memakai topi dan penutup muka serta bersenjatakan parang turun dari sebuah kenderaan berwarna gelap sebelum menyerang mangsa yang sedang bertugas di restoran terbabit.

“Mangsa bertindak melarikan diri dan kesemua suspek mengejar dan kemudiannya menetak mangsa di bahagian kepala, tangan dan badan.

“Selepas ditetak beberapa kali, mangsa kemudiannya jatuh terbaring sebelum keempat-empat suspek bertindak melarikan diri menaiki kenderaan sama,” katanya di sini sebentar tadi.

Beliau memberitahu, mayat mangsa dihantar ke Hospital Kepala Batas (HKB) untuk bedah siasat dan polis sedang giat mengenal pasti keempat-empat suspek terbabit.

Tambahnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*