Pegawai polis terima 36 jahitan di dada, parah dilibas pisau pemotong kertas

Seorang pegawai polis cedera parah pada dada akibat dilibas pisau pemotong kertas oleh seorang lelaki warga emas dalam kejadian di Taman Selasih, di sini semalam.

Kejadian kira-kira pukul 10.45 pagi itu turut mengakibatkan seorang lagi anggota polis luka pada kaki ketika bergelut untuk menahan suspek berusia 82 tahun.

Pegawai Risikan dan Operasi Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim yang parah terpaksa menerima 36 jahitan pada dada.

Sementara anggota dari Cawangan Siasatan Khas (D9) Bahagian Siasatan Jenayah IPD Kulim menerima lima jahitan pada kaki.

Kedua-dua mereka yang berusia lingkungan 30-an dimasukkan ke wad Hospital Daerah Kulim untuk rawatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd. Redzuan Salleh memberitahu, Bilik Gerakan IPD Kulim menerima panggilan telefon daripada orang awam memaklumkan berlaku kecurian di sebuah pasar raya di sini.

“Sepasukan polis diketuai pegawai risikan dan operasi terbabit pergi ke tempat kejadian dan mendapati suspek telah melarikan diri dengan menunggang motosikal.

“Pasukan polis kemudian nampak suspek berhenti di hadapan sebuah rumah di Taman Selasih,” katanya.

Kata beliau, pegawai terbabit kemudian memperkenalkan diri sebagai polis sebelum suspek bertindak mengambil sesuatu di dalam raga motosikal dan terus menghayunkannya ke arah mangsa.

“Kejadian mengakibatkan pegawai polis itu mengalami kecederaan pada dada. Seorang anggota polis cuba menahan suspek dan berlaku pergelutan, menyebabkannya cedera pada kaki,” ujarnya.

Menurutnya, suspek berjaya ditahan bersama sebilah pisau pemotong kertas dan merampas pelbagai barang yang dicuri di pasar raya berkenaan.

“Hasil semakan mendapati suspek mempunyai tiga rekod jenayah lampau dan ujian awal air kencing mendapati dia bebas daripada pengaruh dadah,” katanya.

Tambahnya, kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan (KK) kerana cubaan membunuh dan Seksyen 380 KK kerana mencuri di pasar raya.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*