Peduli apa! ‘Jem ke tak, balik tetap balik’

Peduli apa! ‘Jem ke tak, balik tetap balik’

Keadaan le­buh raya yang sesak pada musim cuti sekolah dan cuti umum Hari Malaysia sejak Jumaat lalu bukan alasan untuk golongan perantau pulang ke kampung halaman masing-ma­sing.

Rata-rata mereka mengakui tidak serik biarpun terpaksa menempuh perjalanan yang panjang lebih 10 jam di atas jalan.

Di George Town, seorang guru, Mohd. Hilmi Mahmud, 39, berkata, dia meredah kesesakan selama lima jam untuk pulang ke kampungnya di Perlis dari Pulau Pinang petang kelmarin.

“Saya guna laluan alternatif ikut jalan kampung sebab lebuh raya sesak dengan kenderaan menuju utara. Bayangkan, perjalanan dari Pulau Pinang ke Perlis ambil masa lima jam, biasanya dua atau tiga jam sahaja.

“Walaupun letih, saya tetap akan pulang ke Perlis untuk bersama keluarga tercinta,” katanya.

Penjawat awam, Nur Juliana Othman, 43, pula berkata, jalan sesak bukan alasan untuk dia menangguhkan perjalanan ke kampungnya di Ipoh kelmarin.

“Janji dapat bawa anak-anak berjumpa datuk dan nenek mereka pada musim cuti sekolah. Kali ini saya lihat kesesakan agak luar biasa,” katanya.

Di Gua Musang, seorang perantau, Muhamad Zulkifli Abdul Rahman, 45, memberitahu, dia sudah lali dengan situasi jalan raya sesak setiap kali cuti sekolah atau musim perayaan untuk pulang ke kampung halamannya di Kota Bharu.

Menurut lelaki itu, sudah menjadi kebiasaan dia terpaksa menempuh perjalanan 12 jam dari Cheras, Kuala Lumpur ke Kota Bharu, Kelantan.

“Setiap kali cuti sekolah, memang saya akan pulang ke Kelantan walaupun jalan sesak teruk. Saya sudah bermastautin di Kuala Lumpur lebih 20 tahun, sepanjang tempoh itu saya tempuh perjalanan panjang untuk balik ke Kelantan pada musim cuti sekolah dan perayaan,” katanya.

Bagi Muhamad Zulkifli, semua perantau di Kelantan boleh diibaratkan seperti alah bisa, tegal biasa apabila memandu melebihi 10 jam pulang ke kampung.

Ahmad Ismail, 38, pula berkata, dia menjangkakan kesesakan anak perantau pulang di Kelantan akan pulih selepas Lebuh Raya Kota Bharu ke Gua Musang siap sepenuhnya dua tahun lagi.

Di Sungai Petani, Najmah Muhammad Ali, 60, berkata, dia menempuh perjalanan lebih 15 jam dari Temerloh, Pahang ke kampungnya di Yan di sini.

Sejak berhijrah keluar dari Kedah lebih 40 tahun lalu, wanita itu berdepan kesesakan teruk berbelas jam, namun sema­ngatnya tidak pernah luntur untuk bertemu keluarga tecinta.

“Ini sahaja peluang yang ada untuk bertemu dengan ahli keluarga yang lain,” katanya.

Pekerja swasta, Alia Nabila Yusof, 34, memberitahu, dia me­nempuh perjalanan selama 11 jam dari Kuala Lumpur ke Kedah kelmarin.

“Selain jalan sesak, kawasan rehat dan rawat (R&R) di sepanjang lebuh raya juga padat. Jika diikutkan memang letih, tapi ini sahaja peluang yang ada untuk balik kampung,” ujarnya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*