Pecah amanah RM24.8 juta, penolong akauntan Kesedar ditahan

Seorang penolong akauntan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) ditahan bagi membantu siasatan kes pecah amanah melibatkan kerugian RM24.8 juta.

Ketua Polis Kelantan, Muhamad Zaki Harun, berkata pihaknya menerima laporan mengenainya semalam, sebelum suspek lelaki berusia 37 tahun yang merupakan penolong akauntan itu ditahan pada 12.21 tengah malam tadi.

“Polis menerima satu laporan berkait salah laku oleh petugas agensi kerajaan itu berhubung kehilangan wang kerajaan yang diuruskan oleh bahagian kewangan agensi berkenaan melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan.

“Siasatan awal mendapati kejadian salah laku ini dilakukan oleh suspek sejak 2016 hingga Mei 2023.

“Suspek membuat 194 transaksi wang dari akaun Kumpulan Wang Pembangunan dan Kumpulan Wang Amanah milik agensi kerajaan berkenaan ke akaun syarikat milik suspek, yang secara keseluruhan transaksi berjumlah RM24,800,189.73,” katanya dalam kenyataan.

Zaki berkata, suspek direman hingga 2 Jun untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*