‘Payung’ premis haram, timbalan pengarah PBT terima suapan hingga RM500,000 ditahan

Seorang timbalan pengarah pihak berkuasa tempatan (PBT) antara tiga penjawat awam direman kerana dipercayai menerima rasuah bulanan hingga RM500,000 daripada premis perniagaan haram di ibu negara.

Sumber berkata, seorang bekas penjawat awam turut ditahan dalam operasi diadakan semalam di sekitar Kuala Lumpur.

“Tiga suspek melibatkan timbalan pengarah dan anggota PBT serta anggota agensi penguat kuasa direman tujuh hari hingga 14 Jun, manakala seorang suspek yang merupakan bekas anggota agensi penguat kuasa direman lima hari hingga 12 Jun 2024,” katanya.

Perintah reman terhadap semua suspek lelaki berusia antara 30 hingga 40-an dikeluarkan Majistret Shairil Farhana Ruslan selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di IPD Dang Wangi.

Menurut sumber, suspek utama iaitu timbalan pengarah PBT dipercayai menerima wang rasuah secara bulanan antara RM100,000 hingga RM500,000 sejak beberapa bulan lalu daripada premis menjalankan kegiatan rumah urut dan hiburan selain premis tanpa lesen sah.

“Wang rasuah itu bagi membolehkan premis perniagaan haram berkenaan beroperasi tanpa dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Susulan tangkapan ke atas suspek utama, SPRM kemudian menahan tiga individu lain kerana dipercayai turut menerima suapan dan berperanan sebagai orang tengah bagi mengagihkan wang rasuah kepada beberapa anggota penguat kuasa PBT,” katanya.

Sumber berkata, menerusi tangkapan itu SPRM turut menyita wang tunai lebih RM200,000 selain barang kemas dan 28 keping wafer emas yang belum dikenal pasti anggaran nilai dan berat.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kuala Lumpur, Mohamad Fauzi Husin, ketika dihubungi mengesahkan tangkapan semua suspek terbabit.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*