Pasangan kekasih ambil jalan pintas jadi kaya undang padah. Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan termasuk mengedar 14.42 kilogram (kg) dadah serta memiliki dadah, hujung tahun lalu.
Tiada sebarang pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh, Cheng Ee Fei, 32, dan buah hatinya, Chan Pei Een, 35, bersabit kesalahan itu selepas ia dibacakan di hadapan Majistret, Hidayatul Syuhada Shamsudin.
Manakala kedua-duanya mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan lain iaitu memiliki dadah jenis ketamin seberat 24.58 gram dan methamphetamine seberat 2.75 gram
Berdasarkan pertuduhan pertama, kedua-dua mereka didakwa secara bersama mengedar dadah jenis methylenedioxymethamphetamine (MDMA) dengan berat 14.42 kg.
Kesalahan tersebut dilakukan mereka di dalam kenderaan Toyota Vios berwarna hitam yang diparkir di tepi jalan Persiaran Mutiara Mas di sini pada pukul 12.30 tengah malam, 28 Disember lalu.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 (pindaan 1980) yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dan sebatan tidak kurang 15 sebatan, jika sabit kesalahan.
Manakala bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Ee Fei dan Pei Enn turut didakwa memiliki dadah jenis ketamin seberat 24.58 gram dan methamphetamine seberat 2.75 gram pada waktu dan lokasi sama.
Atas kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih lima tahun atau keduanya sekali.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aishah Latif manakala kedua-duanya tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah tidak membenarkan kedua-dua tertuduh dijamin manakala tarikh 7 Mac depan ditetapkan untuk sebutan semula kes bagi laporan kimia.
Rabu lalu, Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar dilaporkan berkata, kedua-dua pasangan itu dipercayai telah aktif menjalankan aktiviti pengedaran dadah sejak Oktober lalu
Baca juga :
Leave a Reply