‘PERANG’ balik kampung sering terjadi dalam kalangan pasangan yang sudah berkahwin.
Mungkin kelihatan remeh, tapi ada individu yang amat tegas apabila berdepan isu giliran balik raya sehingga boleh mencetuskan pergaduhan.
Begitulah yang dilalui wanita ini apabila perlu ‘menghadap’ sikap suaminya yang berubah menjadi seorang lelaki tidak bertimbang rasa.
Dia memberi contoh satu situasi ketika dia dan suami balik ke kampungnya di Kelantan bagi menghadiri majlis pertunangan adiknya sendiri.
Disebabkan berlaku perselisihan faham ketika dalam perjalanan, suami membuat keputusan untuk berpatah balik ke rumah.
“Dia minta saya balik sendiri. Saya pujuk dia jangan buat macam tu sebab majlis pagi esok, tiket penerbangan mahal dan kereta saya pun uzur. Sampai je dekat rumah, dia cakap silakan balik sendiri.
“Kereta saya dah uzur, tingkap rosak tak dapat tutup, macam-macam bunyi. Tak pernah saya bawa kereta tu balik kampung, setakat hantar anak sekolah je. Saya balik dengan anak lelaki darjah enam ke kampung perjalanan selama 10 jam.
“Saya tak pernah memandu selama itu seorang tengah-tengah malam dari Selangor ke Kelantan. Selepas dua jam saya mesej minta dia temankan saya balik, dia langsung tak balas. Saya menangis teruskan perjalanan balik dengan anak,” katanya menerusi satu luahan di Facebook.
Menurut wanita itu, perkara hampir sama berlaku lagi apabila mereka mahu pulang ke kampung di Pantai Timur untuk berhari raya bersama keluarga masing-masing.
Seperti yang dijangka, suaminya enggan pulang ke kampungnya di Kelantan, sebaliknya berkeras untuk beraya di Terengganu pada Aidilfitri kali ini.
“Dia cakap ‘Saya tak nak balik rumah awak raya ni. Kalau awak nak balik, awak balik dengan saya sampai rumah saya je di Terengganu. Nanti pandai-pandailah awak balik sendiri. Tak pun duduklah kat sini’,” ujar wanita itu, mengimbas kembali kata-kata suaminya.
Walaupun ‘makan hati’, dia mengakui masih pulang kampung suami setiap kali Hari Raya meskipun terpaksa berdepan dengan pelbagai isu termasuk sikap ibu mentua yang suka cakap lepas.
Selain keras hati, suaminya juga bersikap panas baran sambil menambah dirinya pernah ditengking di hadapan keluarga mentua.
“Rasa aibnya saya, tak rasa macam isteri. Suami saya ni bila marah dia selalu tinggal saya balik kampung dia. Dia block nombor telefon saya. Ya Allah… saya rasa tertekan, trauma.
“Suami bila marah, dia pernah simbah saya dengan air, campak makanan masa on the way balik kampung dia,” ujarnya.
Apa yang dikesali apabila dirinya dikatakan tidak seperti isteri orang lain kerana mengalami masalah kemurungan.
“Dia suka cakap saya mental, tak macam bini orang lain. Ya, memang saya murung. Suami suka lari bila saya nak mengadu, masuk dalam bilik. Saya minta dia keluar dengar masalah saya, tapi dia tak peduli,” katanya.
Luah wanita itu lagi, perkahwinan yang dibina selama 13 tahun bukan satu tempoh yang singkat dan seboleh-bolehnya dia mahu mempertahankan rumah tangganya itu.
“Saya pernah nak bercerai tapi dia tak nak. Tapi dia selalu ugut kalau tak suka, angkat kakilah. Dia tahu saya tak akan buat.
“Saya nak pergi mana, bisnes saya kat sini. Kalau saya ada rumah lain, saya dah balik rumah saya,” katanya mengakhiri bicara.
Turut baca :
Leave a Reply