Panas !!! Ada ‘tangan ghaib’ punca pencalonan di Tenom ditolak

Presiden Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (PKDM) Peter Anthony – yang pencalonannya untuk kerusi parlimen Tenom ditolak pagi ini – akan mencabar keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) di mahkamah pada Isnin nanti.

Bercakap kepada pemberita di Tenom, ADUN Melalap itu mendakwa terdapat ‘tangan ghaib’ di sebalik penolakan SPR terhadap pencalonannya.

Anthony mendakwa pegawai pengurus SPR yang bertanggungjawab ke atas pencalonanTenom telah pun menerima pencalonannya dan mengumumkannya sebagai salah seorang daripada enam calon, tetapi menarik balik keputusan itu kemudian selepas menerima bantahan daripada ibu pejabat suruhanjaya itu.

“Kami telah mengikut semua prosedur yang diperlukan, dan mereka (SPR) telah menyemak semua dokumen kami. Kemudian mereka memaklumkan kepada saya bahawa semua dokumen saya adalah teratur dan lengkap.

“Selepas semua semakan dan proses saringan selesai, semua calon diminta mencabut nombor dan pegawai pengurus pilihanraya kemudiannya membuat pengumuman enam calon akan bertanding di Tenom.

“Kami kemudian diminta keluar dewan untuk pengumuman lain, tetapi malangnya, semasa kami keluar, pegawai tersebut memaklumkan kepada saya bahawa mereka menerima bantahan daripada ibu pejabat SPR terhadap pencalonan saya,” katanya.

Anthony bercakap mengenai insiden rusuhan yang berlaku di luar pusat penamaan calon Tenom di Dewan Datuk Seri Panglima Antanom, yang melibatkan penyokong PKDM.

Kejadian itu menyaksikan polis terpaksa melepaskan gas pemedih mata untuk mengawal keadaan.

Menurut Anthony, yang sebelum ini bersama Warisan sebelum membentuk PKDM, dia telah memberitahu pegawai SPR bahawa tempoh masa bantahan terhadap calon telah pun tamat dan dia telah pun diterima sebagai calon.

“Bagaimanapun, pegawai itu memaklumkan SPR Sabah tidak ada isu dengan pencalonan saya, hanya ibu pejabat.

“Jadi, inilah yang berlaku awal hari ini. Dan di pihak saya, saya akan memfailkan semakan kehakiman di mahkamah Isnin ini untuk mendapatkan keputusan sama ada saya layak bertanding atau tidak,” katanya.

Mengenai sabitan jenayahnya pada Mei, di mana ahli politik itu didapati bersalah memalsukan dokumen dan dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan denda RM50,000, Anthony berhujah bahawa dia masih dalam proses rayuan dan dengan itu boleh bertanding dalam pilihan raya.

Dia berkata terdapat perintah penangguhan terhadap sabitannya, dan oleh itu belum lagi seorang banduan, dakwa Anthony.

Semasa sidang akhbar itu, Anthony turut memohon maaf atas insiden rusuhan yang melibatkan penyokongnya, dia berkata mereka bertindak demikian kerana kecewa dengan penolakan itu.

Turut baca :

Panas !!! Ada ‘tangan ghaib’ punca pencalonan di Tenom ditolak

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*