Palsu akaun bank untuk dapat tender pembersihan, 3 kontraktor didenda

Palsu akaun bank untuk dapat tender pembersihan, 3 kontraktor didenda.

Tiga kontraktor didenda oleh Mahkamah Sesyen selepas mereka mengaku bersalah atas pertuduhan memalsukan penyata akaun bank syarikat untuk melayakkan mereka mendapatkan tender pembersihan awam pada 2019.

Hakim Harmi Thamri Mohamad menjatuhi hukuman itu terhadap Suhaimi Mohd, 47, Shafizawati Shafiee, 48, dan Arman Yani Anuar, 51.

Suhaimi dijatuhkan hukuman denda RM80,000 atas dua pertuduhan manakala Shafizawati dan Arman Yani masing-masing didenda RM45,000 bagi satu pertuduhan.

Palsu akaun bank untuk dapat tender pembersihan, 3 kontraktor didenda

Mahkamah juga memerintahkan ketiga-tiga mereka dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, Suhaimi telah menggunakan suatu dokumen sebagai tulen iaitu penyata akaun Affin Bank Berhad dan Maybank Islamic bagi Okt hingga Dis 2018 dalam permohonan tender Penswastaan Pengumpulan Sisa Pepejal dan Pengurusan Pembersihan Awam di Wilayah Utara.

Turut baca

Dia didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di Wisma Idaman, Environment Idaman (Kedah & Perlis), di sini, pada 19 Jan 2019.

Sementara itu, Shafizawati pula dituduh melakukan perbuatan sama dengan menggunakan penyata akaun CIMB Bank bagi Oktober hingga Disember 2018 dalam permohonan tender yang sama antara 14 Jan hingga 20 Jan 2019 di Wisma Idaman.

Arman Yani pula didakwa membuat tindakan yang sama menggunakan penyata akaun CIMB Bank bagi Oktober hingga Disember 2018 dalam permohonan tender yang sama antara 15 Jan hingga 17 Jan 2019 di tempat yang sama.

Ketiga-tiga mereka didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 465 kanun yang sama iaitu memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pendakwaan kes dikendalikan timbalan pendakwa raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Rehab Abdul Shukur dan pegawai pendakwa SPRM, Mohd Zulfadli Azharudin.

Suhaimi diwakili peguam Khoo Wai Tuck manakala Shafizawati dan Arman Yani tidak diwakili peguam.

Ketiga-tiga tertuduh kemudian membayar denda itu.

 

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*