Paksa pemandu bayar parkir di sekitar ibu negara, polis cekup 11 individu termasuk warga asing

Polis menahan 11 individu termasuk warga asing yang mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram di sembilan lokasi sekitar ibu negara, pada 24 April lalu.

Lokasi yang diserbu ialah Jalan Beremi, Jalan Sultan Ismail, Jalan Tengah Changkat Bukit Bintang, Persiaran Dutamas G3 Street, Jalan Berangan, Jalan Walter Granier, Jalan Mesui, Jalan Doraisamy serta Jalan Kamunting.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi Op Parkir Haram yang dijalankan sepasukan pegawai dan anggota JSPT Kuala Lumpur bermula jam 9 malam pada Rabu, 24 April.

“Dalam operasi itu, kami berjaya menahan 11 individu berusia antara 19 hingga 60 tahun dengan lima daripada mereka adalah warga asing dari India dan Bangladesh.

“Selain itu, dua tangkapan warga tempatan juga didapati memiliki dua rekod lampau bersabit kes dadah serta orang dikehendaki.

Paksa pemandu bayar parkir di sekitar ibu negara, polis cekup 11 individu termasuk warga asin
Antara yang ditahan JSPT Kuala Lumpur menerusi Op Parkir Haram di sekitar ibu negara, baru-baru ini.

 

“Siasatan awal polis mendapati suspek terbabit melakukan kesalahan mengutip bayaran parkir kenderaan secara haram serta merampas wang tunai yang diambil dari pemandu-pemandu secara paksaan,” katanya hari ini.

Beliau berkata, mereka ini mengenakan caj antara RM10 hingga RM20 untuk setiap kenderaan yang diparkir.

Katanya, ada antara kegiatan ini mula aktif sejak sebulan hingga dua bulan lalu.

“Siasatan masih dijalankan dan tindakan akan diambil di bawah Seksyen 50(3) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana mendesak mana-mana orang lain yang berkenaan dengan penjagaan kenderaan,” ujarnya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*