POLIS di Rivers, Nigeria menahan seorang lelaki dikenali sebagai Emeka yang disyaki merogol wanita hamil, Chigbewejim Steward sehingga mangsa meninggal dunia.
Menurut polis, salah faham antara suspek dan mangsa pada 12 Februari 2023 menjadi punca berlakunya serangan kejam itu.
Suspek bersama sekumpulan lelaki didakwa memecah masuk kediaman mangsa pada waktu tengah malam.
Mangsa yang hamil lima bulan diculik dan dibawa ke sebuah lokasi sebelum Emeka dan rakan-rakan merogolnya sehingga mati.
Emeka bagaimanapun berjaya melarikan dan hanya ditahan 15 bulan kemudian selepas polis berjaya menjejaki lokasi persembunyiannya.
Dalam pada itu, suami mangsa turut mengesahkan penahanan suspek dalam satu sesi wawancara pada Khamis.
“Emeka, dalang kematian isteri saya, bergaduh dengannya kerana dia mengatakan isteri saya memanggilnya lelaki durjana.
“Malam itu sekitar 1 pagi Ahad, 12 Februari 2023, budak-budak jahat itu datang ke rumah saya dan memecahkan pintu dan membawa isteri saya pergi.
“Isteri saya mengandung lima bulan. Emeka dan kumpulannya merogol dan mencekiknya sehingga mati. Polis baru menahannya pada Khamis.
“Sekarang dia dalam tahanan polis. Saya telah pergi ke sana untuk memberikan kenyataan. Saya mahu kerajaan campur tangan supaya keadilan dapat ditegakkan,” ujar suami mangsa.
Dia berkata mayat isterinya ditemukan di sekitar kolam pancing beberapa jam selepas penculikannya dengan pelbagai kesan lebam dan pendarahan di bahagian sulit.
Jurucakap Komando, Grace Iringe-Koko, berkata siasatan sedang dijalankan sambil menambah, dia (Emeka) ditangkap dan perkara itu akan dipindahkan ke Jabatan Risikan dan Siasatan Jenayah Negeri.
Turut baca :
Leave a Reply