Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengeluarkan tiga kompaun berjumlah RM75,000 kepada tiga individu atas kesalahan memuat naik komen bersifat lucah melalui aplikasi Facebook.
MCMC dalam kenyataan berkata, kesemua mereka dikenakan kompaun berjumlah RM25,000 setiap seorang di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“Hasil siasatan MCMC mendapati, kandungan yang dimuat naik pada platform media sosial ketiga-tiga individu tersebut melibatkan komen lucah yang ditujukan kepada bayi kepada seorang doktor.
“Penggunaan perkataan lucah tersebut ditulis di ruangan komen sebuah portal hiburan yang menerbitkan satu artikel berkenaan amalan khatan bayi perempuan di United Kingdom,” katanya hari ini.
Tambah MCMC, Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 melarang pembuatan atau penghantaran komunikasi bersifat jelik, lucah atau sumbang dengan niat untuk menyakitkan hati atau mengganggu orang lain.
“Jika disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya,” ujarnya.
MCMC turut mengingatkan orang ramai bahawa perbuatan mengeluarkan kata-kata jelik, jijik, bersifat seksual tentang alat sulit bayi perempuan, adalah satu tindakan yang tidak bermoral dan melanggar undang-undang.
“MCMC terus komited dalam usaha meningkatkan kesedaran bagi melindungi keselamatan kanak-kanak melalui kerjasama dengan pelbagai pihak, dan tidak akan sesekali berkompromi dengan mereka yang terlibat dengan salah laku terhadap kanak-kanak,” jelasnya.
Turut baca :
Leave a Reply