Padah menyamar jadi hantu, wanita sergah pengguna jalan raya akhirnya dicekup

Seorang wanita yang dipercayai menyamar sebagai hantu dan menakutkan pengguna jalan raya telah ditangkap baru-baru ini

Menurut laporan Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan iaitu Asisten Komisioner Raub Selamat berkata wanita berusia 31 tahun itu ditahan oleh unit Ronda Cegah Jenayah (RCJ) Balai Polis Setia Indah, sekitar jam 10.51 malam hasil maklumat yang diterima daripada orang ramai.

“Pada 27 Julai lalu, sekitar jam 12.30 tengah hari, IPD Johor Bahru Selatan telah menerima satu video tular di media sosial yang memaparkan kejadian seorang individu wanita (menyamar hantu) bertindak menyergah kenderaan awam di tepi Jalan Austin Heights.

“Suspek berusia 31 tahun itu kemudiannya berjaya dikesan dan ditahan polis. Hasil semakan mendapati suspek mempunyai satu rekod lampau kes jenayah di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan dan dihukum denda RM1,000 pada 27 Jun 2018.

“Bagaimanapun, hasil saringan ujian air kencing yang dilakukan ke atas suspek didapati negatif daripada pengaruh dadah,” katanya.

Modus operandi yang digunakan suspek adalah dengan menendang kenderaan untuk mengakibatkan kemalangan terhadap dirinya dan kemudiannya memeras wang daripada orang yang melanggarnya

Difahamkan, semakan rekod perubatannya mendapati pada 2022 dan 2023, suspek telah dimasukkan ke zon kuning, Hospital Sultan Ismail (HIS), Johor Bahru disebabkan terlibat dalam kemalangan dan mengalami kemurungan.

Suspek kemudian dibawa ke IPD Johor Bahru Selatan untuk siasatan lanjut untuk pemeriksaan kesihatan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara selama tempoh sehingga dua tahun atau dengan denda sehingga RM10,000 atau dengan kedua-duanya.

Kes ini juga boleh disiasat di bawah Seksyen 79 (2) Akta Pengangkutan Jalan (APJ 1987) yang memperuntukkan kesalahan kepada pejalan kaki yang tidak menggunakan lintasan pejalan kaki yang disediakan.

Selain itu, kes boleh juga disiasat di bawah Peruntukan 23, Peraturan-Peraturan Lalu Lintas 1959 yang memperuntukkan tanggungjawab pejalan kaki untuk mematuhi peraturan lalu lintas dan mengganggu laluan kenderaan dan jika sabit kesalahan boleh dikenakan tindakan denda atau amaran.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*