Padah kongsi aksi ‘wheelie’ di Instagram, 2 remaja ‘dijemput’ polis

Lagak dan aksi ‘wheelie’ serta ‘scorpion’ yang dipamerkan dua remaja ketika menunggang motosikal mengundang padah apabila mereka ‘dijemput’ polis di rumah masing-masing di Kulim, Kedah.

Terdahulu, aksi berbahaya dua remaja itu dikesan dalam satu rakaman video berdurasi 22 saat di laman sosial seorang pemilik akaun Instagram, 8 pagi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kedah, Mohd Mahiri Hussain berkata, dua remaja lelaki berusia 16 dan 18 tahun itu ditahan di rumah mereka masing-masing di Fasa 5 Keda Naga Lilit dan Kampung Sungai Seluang Bawah, Kulim.

Katanya, hasil semakan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulim melalui nombor pendaftaran motosikal berjaya menjejaki dua remaja itu.

“Hasil siasatan awal, dua remaja terbabit mengaku mereka individu sama yang menunggang motosikal dengan melakukan aksi berbahaya itu.

“Seorang daripadanya bekerja sebagai buruh, manakala seorang lagi pelajar di sebuah sekolah menengah,” katanya.

Beliau berkata, dua remaja berkenaan dibawa ke IPD Kulim dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*