“Orang tamak selalu rugi…” Tertarik pulangan RM4,000, akhirnya rugi RM1.4 juta

“Orang tamak selalu rugi…” Tertarik pulangan RM4,000, akhirnya rugi RM1.4 juta.

Pesara kerugian RM1.4 juta selepas tertarik diberikan pulangan RM4,000 dalam skim pelaburan saham dipromosikan di Facebook.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata mangsa berusia 70 tahun mendapat nilai pulangan itu selepas membuat pelaburan RM20,000, justeru menjadikannya semakin yakin menambah pelaburan.

“Mangsa semakin tertarik kerana turut diberikan kelas pelaburan selama lapan bulan secara dalam talian sebelum membuat pelaburan pertama bernilai RM20,000.

“Pelaburan itu, menurut mangsa membawa pulangan sebanyak RM4,000 menyebabkan dia berani mengeluarkan wang simpanan untuk menambah modal,” katanya menurut Bernama.

Yahaya berkata, mangsa mendakwa membuat 19 kali transaksi pemindahan wang ke lapan akaun diberikan suspek bagi tujuan itu, yang secara keseluruhannya melibatkan bayaran RM1.4 juta.

Mangsa membuat laporan di balai polis di Raub, semalam, selepas gagal menghubungi suspek bagi mengeluarkan “keuntungan” dijanjikan.

Sehubungan itu, Yahaya menasihatkan orang awam berwaspada dan membuat semakan sebelum menyertai pelaburan dalam talian, khususnya yang menjanjikan pulangan lumayan dalam masa singkat.

Orang ramai juga dinasihatkan membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon yang diterima di https://semakmule.rmp. gov.my sebelum membuat transaksi bagi mengurangkan risiko diperdaya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*