Omar Rojik : Dari mekanik Jepun ke pengarah filem Melayu

Omar Rojik : Dari mekanik Jepun ke pengarah filem Melayu. Jika menonton filem lakonan P.Ramlee berjudul Sarjan Hassan, ingatkah anda kepada salah satu watak ketua Jepun dalam filem itu? Watak itu dilakonkan oleh Omar Rojik.

Omar Rojik atau Omar bin Ali dilahirkan di Seberang Perak, Alor Star, Kedah pada 23 November 1925. Omar bersekolah Melayu hingga tamat, kemudian meneruskan persekolahannya di sekolah Inggeris sehingga darjah tiga sahaja.

Omar sempat bekerja selama beberapa bulan di bengkel PWD di Alor Star, Kedah. Apabila Jepun menduduki Malaya, Omar memasuki angkatan belia dan bekerja sebagai mekanik memperbaiki enjin kapal terbang tentera Jepun. Pada masa itulah secara tidak langsung dia belajar bahasa Jepun.

Pada tahun 1950, Omar Rojik merantau ke Singapura untuk mencari pekerjaan. Beliau menghadiri temuduga untuk bekerja di pangkalan tentera udara Inggeris di Seletar, Singapura tetapi gagal. Kerana itu, Omar mengambil keputusan untuk pulang semula ke Kedah, tetapi ditahan oleh R. Azmi (penyanyi dan pelakon terkenal ketika itu).

Omar kemudian menumpang tinggal di bilik R. Azmi di Jalan Syed Alwi, berdekatan Taman Hiburan New World. Melalui pertolongan R. Azmi, Omar mendapat pekerjaan sebagai tukang sapu di Studio Malay Film Production (MFP) dengan gaji 50 ringgit sebulan.

Dari situ Omar mula masuk ke dalam bidang lakonan. Dia mendapat duit tambahan apabila disuruh berlakon sebagai pelakon tambahan. Bintang beliau mula bersinar apabila diangkat menjadi pelakon utama di samping Kasma Booty dalam filem berjudul Manusia pada tahun 1951.

Omar Rojik mulai muncul dalam sebuah filem ke sebuah filem yang diarahkan oleh pengarah filem dari India. Beliau berlakon dengan pelakon-pelakon terkenal seperti P. Ramlee, Mariam, Ahmad Mahmud, Rokiah Jaafar, Saadiah, Rosnani dan lain-lain.

Satu perkara menarik tentang Omar Rojik, beliau suka membaca buku cerita sama ada dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Masa lapang beliau banyak dihabiskan dengan membaca buku.

Melalui pembacaan yang luas, beliau belajar pula cara menulis skrip. Omar memang memasang angan-angan untuk menjadi pengarah filem pada satu masa nanti atau menjadi penulis skrip. Peluang untuk menduduki kerusi pengarah terbuka luas apabila beliau dilantik sebagai penolong pengarah. Seterusnya, Omar banyak menjadi penolong pengarah kepada pengarah filem India seperti S. Ramananthan, L. Krishnan, B.N. Rao dan K.M Baskaran.

Omar Rojik : Dari mekanik Jepun ke pengarah filem Melayu
Omar Rojik

Tugas terakhir beliau sebagai penolong pengarah adalah ketika bekerja dengan pengarah filem, Jamil Sulong dalam filem Batu Belah Batu Bertangkup pada tahun 1959. Angan-angan Omar untuk bergelar pengarah filem menjadi kenyataan apabila pada tahun 1960, dia dilantik sebagai pengarah.

Filem arahan pertama Omar Rojik ialah Sumpah Wanita. Cerita filem itu diberikan oleh P.Ramlee sebagai membalas jasa Omar yang sebelum itu sudah dua kali memberikan cerita kepada P.Ramlee, iaitu Semerah Padi dan Antara Dua Darjat.

Setelah berjaya dengan filem Sumpah Wanita, Omar Rojik terus melangkah ke depan dengan mengarah pelbagai filem lagi sehinggalah MFP ditutup pada tahun 1967. Filem terakhir arahan beliau di MFP ialah A Go Go 67, lakonan Aziz Jaafar dan Zaiton.

Omar Rojik kemudian berhijrah ke Merdeka Film Production di Hulu Kelang, Selangor pada tahun 1968. Filem pertama arahan beliau di studio di Malaysia ialah Miang-Miang Keladi lakonan Jins Shamsudin, Sarimah, Zahrah Agos dan A.K Jailani.

Di Studio Merdeka, Omar Rojik mengarah sebanyak 16 buah filem. Filem terakhir arahan beliau ialah Si Buta, lakonan Hussein Abu Hassan. Selepas Merdeka Film Production berhenti menerbitkan filem pada tahun 1975, Omar bekerja dengan syarikat Sabah Film pula dan sempat mengarahkan dua buah filem iaitu Gila-Gila lakonan R.Jaafar dan Hamidah Wahab, dan Si Lunchai lakonan Azlina Aziz dan R.Jaafar.

Omar Rojik juga merupakan orang pertama mengarah drama swasta apabila Radio Televisyen Malaysia (RTM) memperkenalkan slot drama swasta pada tahun 1984. Drama pertama beliau berjudul Rumah Hantu.

Omar Rojik meninggal dunia di Kelang, Selangor pada tahun 1998.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*