Jaguh trek berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang mendedahkan apa yang berlaku kepadanya sehingga dibatalkan penyertaan pada pusingan pertama acara keirin Sukan Olimpik Paris 2024 akibat kesalahan memotong pacer sekali gus meranapkan misinya untuk memburu pingat emas.
Jelas pelumba yang mendapat gelaran The Pocket Rocketman itu, sebaik mendapati undian untuk dirinya di kedudukan terakhir atau keenam, perancangannya adalah untuknya terus mendapat posisi paling hadapan seawal mungkin kerana terdapat pelumba front runner di hadapannya yang akan meletakkannya dalam situasi sukar.
“Akan ada kemungkinan blocking dan gapping dari beberapa pelumba hadapan jika saya menggunakan taktik menunggu. Jadi saya harus memilih taktik terbaik untuk meningkatkan kemungkinan untuk menang dan bergerak awal ini juga saya ada lakukan ketika pusingan awal di Olimpik Tokyo dahulu.
“Namun ketika melepasi selekoh ketiga dan sebelum memasuki selekoh keempat, saya dihalang dengan himpitan dari pelumba Perancis (Rayan Helal). Himpitan itu terlalu agresif dan bagi saya ia adalah intentionally aggressive kerana melanggar saya dan saya hampir terjatuh. Saya terselamat daripada jatuh kerana reaksi pantas dan good handling skill yang saya ada.
“Tidak cukup dengan itu beliau masih mengekori rapat di sebelah dan masih cuba memberikan himpitan kedua dan di dalam keadaan seperti itu, reaksi saya adalah bergerak ke hadapan untuk mengelak dari beliau,” katanya menerusi status di akaun Facebook miliknya.
Jelas pemenang pingat perak acara keirin di Tokyo 2020 itu, kebiasaannya di pusingan terakhir, pacer akan memecut keluar selepas melepasi selekoh empat dari kelajuan 50-55kmh, namun pada perlumbaan malam tadi, pacer bergerak lebih perlahan berbanding kelajuan sebenarnya dan tidak memecut keluar selepas selekoh empat.
“Saya yang tengah bergolak dengan pelumba Perancis itu perasan pacer masih belum memecut keluar, terkejut dan cuba ‘back pedal’ sebagai cara untuk breaking akan tetapi malangnya tak sempat untuk memperlahankan kelajuan seperti yang diinginkan.
“Berdasarkan peraturan perlumbaan, tayar belakang pelumba tidak boleh memotong pacer sebelum pacer keluar di pursuit line iaitu line halus di tengah front stretch (bukannya starting line).
“Adakah tayar belakang saya memotong pacer sebelum pacer keluar? Jawapan saya adalah ya, akan tetapi ianya adalah unintentionally dan juga ianya adalah disebabkan oleh dua keadaan iaitu pertama blocking dan himpitan berterusan dari pelumba Perancis dan keduanya adalah kerana pacer bergerak pada kelajuan hanya 40-45kmh dan tidak pada kelajuan sepatutnya dan tidak memecut keluar seperti kebiasaan.”
Jurulatih, John Beasley dan pengurus pasukan, Izham Mohammad terus berjumpa dengan pihak panel komisar sejurus kejadian dan menjelaskan keadaan dan memohon untuk mereka review kembali video perlumbaan dan keputusan. Namun mereka memilih untuk kekal dengan keputusan yang sama,” katanya.
Azizulhasni menjelaskan, apa yang berlaku kepadanya pernah berlaku kepada pelumba lain namun tidak dikenakan kesalahan malah diberikan peluang untuk berlumba oleh panel komisar.
“Boleh rujuk perlumbaan separuh akhir pecut antara pelumba Great Britain dan Belanda dan juga perlumbaan suku akhir antara pelumba Great Britain dan Jepun. Keadaan juga mengingatkan saya kembali kepada perlumbaan keirin final di Olimpik Rio di mana perlumbaan harus diberhentikan sebanyak dua kali dan dimulakan kembali tanpa seorang pun pelumba dikeluarkan dari perlumbaan.
“Sukan lumba basikal trek memang keputusan mutlak daripada panel komisar. Walaupun suatu ketika dahulu jurulatih dan pasukan boleh membawa hujah dan video untuk di review kembali akan tetapi sampai pada suatu ketika semuanya diubah sepenuhnya,” katanya.
Turut baca :
Leave a Reply