Seorang anggota polis trafik dirakam ‘menyaman’ pasangan pelancong yang didakwa memandu melebihi had laju dengan menerima bayaran wang tunai RM100 di lokasi kejadian berbanding bayaran di balai polis sebanyak RM300
Dalam perkongsian di YouTube melalui akaun ‘UK Van Lifers’, kedua-dua mereka yang kini popular di media sosial dalam edisi jelajah Malaysia menggunakan van telah ditahan ketika dalam perjalanan ke Ipoh, Perak.
Visual van yang dipandu pasangan itu ditahan oleh anggota polis trafik yang lengkap berpakaian seragam pada minit ke 3:52 dalam perkongsian bertajuk “UK Van Lifers stopped by the polis in Malaysia”.
Dalam perbualan, polis trafik itu mendakwa van tersebut dipandu 80 kilometer sejam berbanding had laju yang dibenarkan iaitu 60 kilometer pada pukul 11.50 pagi.
Pemandu van berkenaan seorang wanita bertanya apa yang perlu mereka lakukan.
“Saya akan berikan kamu surat saman dan kamu pergi ke balai polis untuk membayarnya. Boleh? Atau bayar di sini?” soal polis trafik berkenaan.
Wanita itu kemudian berkata, terpulang kepada polis trafik tersebut sama ada hendak memberi surat saman atau membuat bayaran serta-merta.
“Kalau (bayar) di balai polis RM300. Kalau di sini RM100,” kata polis trafik tersebut sambil melihat telefonnya.
Diberi dua pilihan, sama ada mahu bayar saman RM300 di balai polis atau RM100 di lokasi kejadian
Dalam visual tersebut, pasangan itu bersetuju untuk membayar secara tunai dan menyerahkan wang kertas berjumlah RM100 kepada polis berkenaan.
Anggota polis trafik itu kelihatan mengambil wang berkenaan sahaja tanpa memberikan sebarang surat saman.
Malah beliau menolak untuk melihat sebarang dokumen selepas wanita berkenaan membuat tawaran untuk berbuat demikian.
Dalam komen yang dibuat dalam video berkenaan, pasangan itu berkata mereka tidak menyedari telah memandu melebihi had laju.
Bagaimanapun katanya, membayar secara tunai dengan kadar yang lebih rendah di lokasi kejadian adalah pilihan yang baik berbanding terpaksa pergi ke balai polis dan membayar denda yang tinggi.
Sementara itu, ketika artikel ini ditulis video berkenaan telah pun meraih lebih 53K tontonan, 2.4K tanda suka dan 1,191 komen di YouTube.
Kejadian yang menimpa YouTuber berasal dari UK itu menarik perhatian dalam kalangan netizen dari Malaysia.
Rata-rata netizen juga memberikan reaksi pelik dan ada juga yang mendakwa bahawa anggota polis trafik tersebut melakukan jenayah rasuah.
Mereka juga mengingatkan: “Jangan sesekali membayar saman di tepi jalan kalau tidak di balai polis. Kerana semua saman perlu dibayar di balai polis atau menerusi atas talian. Kalau kamu bayar di balai polis, kamu boleh dapat diskaun, tak perlu bayar RM300 tu”.
“Polis itu telah meminta suapan. Dia tidak seharusnya meminta sebarang wang daripada kamu. Saya simpati kamu harus melalui situasi ini. Polis yang memalukan”.
Berikut di bawah antara komen netizen di YouTube TREAD The Globe:
Dalam pada itu, pihak polis mengesan video berdurasi 30 minit dan 24 saat itu yang tular di media sosial
Menurut Harian Metro, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri berkata, PDRM akan mengambil tindakan tegas terhadap anggota yang kononnya menawarkan diskaun saman trafik kepada pasangan warga asing ketika mereka ditahan di lokasi kejadian.
“Jam 4.30 petang hari ini JSPT mengesan video tular di platform YouTube dan lain-lain media sosial mengenai tindakan anggota trafik menyaman dan menawarkan diskaun ke atas pasangan dari United Kingdom (UK) yang sedang melakukan edisi jelajah Malaysia itu.
“Siasatan terperinci sedang dijalankan bagi menyiasat dakwaan itu dan tidak akan bertoleransi ke atas anggota dan pegawai terbabit,” katanya.
Turut baca :
Leave a Reply