“Nyawa bagaikan di hujung tanduk” – Jurukimpal ‘bertemankan’ bahaya, 8 jam di dasar laut

“Nyawa bagaikan di hujung tanduk” – Jurukimpal ‘bertemankan’ bahaya, 8 jam di dasar laut.

BERADA di tengah laut dan menyelam ke dasarnya selama berjam-jam pada kedalaman melebihi 30 meter seorang diri bagi lunaskan kerja kimpalan, tanpa diketahui cabaran menanti, mungkin dilihat pekerjaan ‘gila’ dilakukan.

Dalam kesejukan, suasana gelap dengan jarak penglihatan mungkin sejengkal, ada pula berada hingga lapan jam di dasar laut, ternyata hanya yang benar-benar berhati kental mampu melaksanakan tugas penuh berisiko itu.

Itulah pengalaman luar biasa tiada nilainya dilalui oleh Jurukimpal Dalam Air, Hazym Abd Hamid, 30, apabila memilih kerjaya jarang menjadi pilihan ramai.

Baginya, di darat tempat biasa manusia, tetapi berada di dalam lautan, apa saja kemungkinan perlu dihadapi kerana seolah-olah ‘masuk di dunia lain’.

Tanpa ilmu di dada, persediaan rapi, kepakaran, gabungan ahli kumpulan yang saling membantu, semuanya tidak boleh dicapai, jika hanya ada keberanian saja.

Lima tahun berada dalam bidang ini, katanya, sebagai jurukimpal profesional dalam air, kemahiran, ilmu dan pengurusan ketika bertugas di dalam air sangat penting, selain perlu mahir menyelam.

“Di dalam laut sangat berbeza berbanding di daratan kerana faktor tolakan arus yang kuat dan kegelapan antara dua perkara perlu diambil kira.

“Bahaya ada di mana-mana. Kadang-kadang ketika kerja kimpalan, platform berat dan besar yang diselenggara itu bergerak akibat tolakan arus dan boleh mendatangkan kecelakaan. Setakat ini, paling lama tiga jam saya di dalam laut.

“Kita perlu ada simulasi dalam fikiran mengenai keadaan di situ dan menggunakan deria lain untuk cepat-cepat berenang kembali sebelum meneruskan semula tugasan.

“Pada masa sama, ahli kumpulan di darat juga main peranan penting untuk kita berkomunikasi sekiranya memerlukan bantuan,” katanya kini bertugas di Arab Saudi sebagai penyelam komersial sejak awal tahun lalu.

Tidak dinafikan, apabila tugas ini dilihat sebagai sesuatu yang unik, sudah semestinya timbul pelbagai persoalan apabila berada di dalam air di tengah lautan.

Antaranya, kemunculan haiwan akuatik dan berbahaya yang tidak pernah dilihat sebelum ini.

Pernah Hazym bertembung dengan seekor ikan paus ketika sedang sibuk menjalankan kerja kimpalan, dan bernasib baik haiwan itu tidak mengganggunya.

“Bunyi enjin kapal membuatkan kebanyakan haiwan itu jarang mendekati kawasan kami, tetapi apabila ada platform di tengah lautan, mereka akan menjadikan ia sebagai ‘rumah’ dan di situ kita boleh jumpa beberapa haiwan lain seperti ikan barracuda (ikan air masin dari genus Sphyraena) dan belut.

“Setakat ini, tiada kejadian buruk berlaku. Cuma pernah melihat bayangan hitam seakan-akan ikan jerung ketika sedang melakukan kerja pemeriksaan sebuah kapal di Port Klang.

“Risau memikirkan perkara itu, saya segera menghabiskan kerja dan cepat-cepat naik ke atas daratan,” katanya yang pernah menyelam sehingga kedalaman 30 meter.

Berdebar-debar dada ketika di dasar laut

Bagi Hazym setiap kali turun ke dalam air berseorangan, perasaan berdebar tetap menyelubungi dirinya kerana semua kemungkinan boleh berlaku.

“Untuk mengelakkan kejadian tidak diingini, saya akan pastikan cukup persediaan di darat seperti disediakan mesin, kabel dan alat perkakas kerana ketika di dalam air, satu barang tidak boleh tertinggal kerana ia akan menyusahkan ahli pasukan lain.

“Jika berada di dalam laut pada kedalaman tertentu, perlu ada teknik untuk kembali naik ke daratan memandangkan ada gas oksigen dan nitrogen yang banyak dalam badan perlu dibuang bagi mengelakkan risiko paru-paru kembang,” katanya yang mengambil kursus enam bulan di New Zealand School Commercial Diving Training pada 2016 sebelum mengikuti kursus jurukimpal dalam air di Underwater Commercial Diving and Wet Welding, Bangi pada 2019.

Walaupun memilih pekerjaan berisiko tinggi, Hazym tiada rasa sebarang tekanan, melainkan jika berlaku perkara tidak diingini membabitkan kerja seperti kimpalan tidak melekat dan sebagainya.

“Takut tetap ada, tapi ini pekerjaan yang kita suka, jadi perlu hadapinya.

“Bidang pekerjaan komersial penyelam sebenarnya amat luas antaranya jurukimpal dalam air, juruteknik perubatan teknikal dan penyelam teknikal dan bidang-bidang lain lebih terperinci.

"Nyawa bagaikan di hujung tanduk" - Jurukimpal 'bertemankan' bahaya, 8 jam di dasar laut

“Semua orang boleh menceburinya sama ada berpendidikan rendah atau tinggi kerana ia sangat unik dan tidak semua mahu melakukannya.

“Yang penting belajar teknik menyelam kerana kerana bidang ini amat mahal bayarannya, tetapi tinggi pulangannya,” katanya turut berkongsi purata gaji jurukimpal profesional dalam air ialah lebih RM1,000 sehari bergantung kepada majikan masing-masing.

Nyawa bagaikan di hujung tanduk

Bagi penyelam komersial, Mohd Nazri Bachok, 37, pernah berdepan detik cemas apabila topi keledar dipakai tiba-tiba dimasuki air disebabkan masalah teknikal ketika melakukan kerja penyelenggaraan kapal di dasar laut di Singapura, baru-baru ini.

“Saya terkejut dan mengucap kalimah syahadah. Kemudian secara tiba-tiba juga air dalam helmet terus hilang.

“Pengalaman yang menakutkan, tapi bersyukur dapat mengendalikan keadaan dan tiada kemalangan,” katanya tugasannya babitkan kimpalan, pemeriksaan, pembersihan, penyelenggaraan dan sebagai di sebuah syarikat di Singapura.

Beliau mengakui, tugas jurukimpal penuh cabaran dan nyawa bagaikan di hujung tanduk. Kerana minat mendalam teruskan walaupun sebelum ini mendapat tentangan keluarga.

“Sesiapa ingin menceburi bidang ini perlu mempunyai mental dan fizikal yang kental,” katanya.

Kerjaya penyelam komersial dapat permintaan tinggi

Profesion jurukimpal kini menjadi bidang semakin dikenali berikutan tugasan yang unik menawarkan pendapatan lumayan sejajar pengalaman serta kepakaran, meskipun berdepan risiko bahaya.

Tugasan memerlukan teknik, kemahiran, kelayakan dan kompetensi untuk berada jauh ke dasar laut.

Pusat Kejuruteraan Kimpalan Bawah Air (UWEC) di Bangi, satu-satunya pusat bertauliah dan diiktiraf dunia serta mempunyai lesen dikeluarkan Weldcraft Pro, United Kingdom (UK) yang memberi latihan dalam bidang ini.

Menyediakan tiga sijil antarabangsa, iaitu Sijil Kecekapan Welcraf Pro dan Sijil Pencapaian disahkan oleh Organisasi Penganugerahan Pakar untuk Kejuruteraan dan Pembuatan (EAL) dengan tiada tarikh luput serta Sijil Kelayakan Pengimpal di UK yang perlu diperbaharui setiap dua tahun sekali.

"Nyawa bagaikan di hujung tanduk" - Jurukimpal 'bertemankan' bahaya, 8 jam di dasar laut

UWEC dikendalikan oleh MM Matrix Integrity (M) Sdn Bhd. Menurut pemiliknya, Prof Dr Mahadi Abd Murad, setakat ini sudah menghasilkan lebih 40 jurukimpal dalam air profesional sejak beroperasi 2016.

UWEC adalah satu-satunya pusat bertauliah diiktiraf di Asia, selain empat negara di Eropah yang masih aktif menjalankan latihan, berbanding beberapa negara yang sudah ditamatkan lesennya.

“Kami mempunyai kelengkapan latihan dan susunan bermula daripada tiada apa-apa pengalaman sehinggalah menjadi jurukimpal dalam air, kompentensi dan memiliki integriti bagi menjalankan tugas.

“Latihan merangkumi teori dan praktikal kerana di situ jurukimpal akan menjalankan tugas mereka sebaik mungkin mengikut peraturan bagi mengelakkan kerosakan atau kecuaian akibat tindakan jurukimpal itu sendiri.

“Ini memandangkan ada saja jurukimpal yang layak menjalankan tugas mereka di dalam air, tetapi tidak kompentensi iaitu melakukan kerja semberono seperti menggunakan rod elektrik yang salah ketika mengimpal.

“Di situlah berlaku banyak kerosakan berulang di paip-paip gas dan minyak oleh pemilik syarikat dan mereka terpaksa menanggung kerugian tinggi,” katanya.

Untuk menjadi jurukimpal dalam air, mereka perlu belajar mengenai kimpalan kering, kemudian pengenalan kepada kimpalan basah, melatih menjadi penyelam rekreasi, penyelam skuba dan seterusnya penyelam komersial.

“Belajar bermula sebagai jurukimpal dalam air, sekurang-kurangnya empat bulan dengan kos dikenakan RM70,000.

Dengan kerjasama Yayasan Peneraju, pihaknya menyasarkan 150 penyelam komersial dilatih menjadi jurukimpal dalam air profesional.

“Pekerjaan ini semakin mendapat sambutan kerana pendapatan lumayan dan tidak semua orang boleh melakukannya. Permintaan tinggi dan ramai pelatih kami sudah bekerja di luar negara,” katanya.

"Nyawa bagaikan di hujung tanduk" - Jurukimpal 'bertemankan' bahaya, 8 jam di dasar laut

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*