Nurul Izzah ditawar anggotai jawatankuasa penasihat menteri kewangan

Anak kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim, Nurul Izzah diundang menyertai jawatankuasa penasihat khas menteri kewangan.

Pengerusinya Mohd Hassan Marican berkata dia menyampaikan jemputan itu kepada Nurul Izzah (atas) bersama pengurus kanan Petronas, Khairil Anuar Ramli.

“Jawatankuasa penasihat melapor terus kepada menteri kewangan dan akan bermesyuarat sekerap mungkin bergantung kepada keperluan.

“Sekretariat untuk menyokong operasi jawatankuasa penasihat ini telah dibentuk dan terletak di Menara Berkembar Petronas,” kata Hassan.

Sebelum ini, Anwar dikritik hebat kerana melantik Nurul Izzah sebagai penasihat kanan ekonomi dan kewangan kepadanya,

Bagaimanapun Anwar menegaskan anak perempuannya itu tidak menerima sebarang imbuhan gaji daripada jawatan sebagai penasihat itu.

Hassan berkata jawatankuasa itu pada mesyuarat pertamanya Jumaat lalu menggariskan peranan utamanya yang antara lain untuk menasihati menteri kewangan mengenai cara dan kaedah untuk meningkatkan pendapatan negara dan mengurangkan perbelanjaan mengurus.

Bidang tumpuannya yang lain termasuk perkara berkaitan subsidi, perkara berkaitan syarikat berkaitan kerajaan (GLC ) dan isu berkaitan hutang negara dan tadbir urus yang baik.

Mesyuarat itu dihadiri ahli jawatankuasa penasihat yang lain – iaitu Pengerusi Sarawak Energy Bhd, Amar Abdul Hamed Sepawi; Pengerusi Eksekutif FPSO Ventures Sdn Bhd, Ahmad Fuad Md Ali; Profesor Ekonomi Universiti Malaya, Rajah Rasiah dan Universiti Sunway, Yeah Kim Leng.

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*