Nur Farah Kartini dibawa ke kebun ubi sebelum dibunuh

Allahyarham Nur Farah Kartini Abdullah dipercayai dibawa ke beberapa lokasi termasuk sebuah kebun ubi yang diusahakan suspek di Tanjung Malim, Perak sebelum dibunuh.

Kebun ubi itu terletak kira-kira 30 hingga 40 kilometer dari lokasi mangsa ditemukan mati.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ahmad Faizal Tahrim ketika dihubungi Astro AWANI memberitahu, polis merakamkan percakapan seorang pekerja kebun itu pada Sabtu, yang mengesahkan kehadiran suspek dan mangsa di lokasi itu pada hari kejadian.

Superintenden Ahmad Faizal Tahrim. Gambar kecil: Allahyarham Farah Kartini

“Pasukan polis sedang berusaha mendapatkan keterangan saksi-saksi dan bahan bukti di lokasi itu,” katanya di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Ahmad Faizal memberitahu, polis juga sedang meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar Tanjung Malam yang dipercayai menjadi lokasi ‘persinggahan’ sebelum mangsa dibawa ke ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Hulu Selangor.

“Ada rakaman CCTV yang jelas dan ada juga yang kurang memuaskan,” ujarnya.

Sementara itu, beliau memberitahu, operasi pencarian bahan bukti tambahan bagi kes pembunuhan graduan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) itu di Sungai Trolak, Kampung Batu 4 masih ditangguhkan susulan paras air yang belum kembali ke paras normal.

Isnin lalu, mayat Nur Farah Kartini ditemukan di Ladang Kelapa Sawit Kampung Seri Keledang, Hulu Selangor kira-kira jam 6 petang.

Susulan itu, seorang anggota polis berusia 26 tahun, yang merupakan teman lelaki mangsa ditahan.

Media sebelum ini melaporkan beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini, 25, ditemukan ketika operasi pencarian bahan bukti dilakukan.

Pada hari yang sama, polis turut mengesahkan pihaknya menemukan telefon pintar dipercayai milik mangsa yang dibuang di dalam parit di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Kledang di sini.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*