Hati mana tidak dihambat kesedihan memikirkan nasib anak kecil umpama ‘nyawa di hujung tanduk’.
Itu perasaan duka dilalui Mimi Azila Abdul Rahman, 29, dan suami, Khairul Najib Khamis, 29, selepas anak mereka Putra Aeril Rizqi Khairul Najib, dua tahun, disahkan menghidap penyakit hati kritikal sejak lahir dikenali sebagai Biliary Atresia.
Mimi Azila berkata, tahap kesihatan anaknya semakin merosot hari demi hari disamping bacaan bilirubin ataupun kuning yang semakin tinggi.
“Doktor maklumkan organ hati anak saya tidak mampu bertahan untuk tempoh masa lebih lama dan ini akan menjejaskan tahap kesihatan seluruh tubuh badan, perkembangan serta mengancam nyawa anak saya.
“Ketika ini anak saya masih meneruskan rawatan susulan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan di bawah pengawasan doktor,” katanya selepas menerima sumbangan daripada Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Asnaf Setia Kasih Negeri Sembilan (PERKASIH N9), Fadillah Mansor yang mengunjungi rumah sewa pasangan itu di Taman Megaway Sikamat di sini, semalam.
Katanya, lebih membingungkan mereka apabila doktor memaklumkan anak mereka perlu segera menjalani pembedahan pemindahan hati dengan kos pembedahan lebih RM185,000 di Hospital Renji Shanghai di China.
“Saya buntu berikutan saya hanyalah seorang suri rumah manakala suami berniaga menjual makanan dengan pendapatan tidak menentu.
“Kami juga perlu kerap membawa anak ke PPUM untuk temujanji doktor selain perlu menampung kos sewa rumah sekitar RM650 sebulan. Mana mungkin kami mampu menyediakan duit sebanyak hampir RM200,000 termasuk perbelanjaan kami jika membawa anak tunggal kami ini ke China,” ujarnya.
Mimi berkata, susulan keadaan kesihatan anak yang semakin kritikal, dia dan suami tidak ada jalan lain selain merayu sumbangan orang ramai.
“Demi buah hati kami, saya sanggup merayu… sekurang-kurangnya berilah kami harapan supaya Putra Aeril Rizqi dapat pulih dan gembira seperti kanak-kanak lain,” ujarnya sambil mengalir air mata.
Orang ramai yang bersimpati dan mahu membantu meringankan beban keluarga ini, bolehlah menyumbang melalui akaun Maybank 1551 2710 4931 atas nama Mimi Azila Abdul Rahman..
Turut baca :
Leave a Reply