“Nanti mati pun seorang diri juga dalam kubur…” Tak sangka itu gurauan terakhir suami
“Arwah ada bergurau tidak kisah ditinggalkan bersendirian, suami kata nanti mati pun seorang diri juga dalam kubur.
“Saya sama sekali tidak menyangka gurauan itu menjadi kenyataan, saya akui masih sukar terima kenyataan suami sudah ‘pergi’ meninggalkan kami,” kata Norlinda Jamil, 34, yang hiba kehilangan suaminya, Halmi Tahrin, 42.
Halmi yang juga kakitangan di sebuah ladang sawit meninggal dunia akibat disengat tebuan tanah ketika mengikuti aktiviti permotoran dan perkhemahan di kawasan hutan simpan di Jalan Temayong, Labis berhampiran Felda Tenang, di sini, semalam.
Arwah dilaporkan meninggal dunia 2.24 petang pada hari kejadian akibat sengatan serangga itu di belakang badannya.
Norlinda berkata, kelmarin arwah suaminya itu meminta dia bersama tiga anaknya pulang kediaman keluarga di Felda Moakil kerana mahu menyertai aktiviti permotoran di sekitar hutan simpan itu.
Dia mengakui sebelum itu, suaminya banyak berubah sikap menjadi amat penyayang dan gemar bergurau senda sedangkan sebelum itu arwah agak pendiam.
“Memang nampak perubahan itu tetapi saya tidak fikir bukan-bukan sebaliknya menganggap perubahan dan gurauan itu perkara biasa. Tidak sangka pula itu petanda arwah akan ‘pergi’.
Turut baca :
- Dua kali gagal ujian memandu punca remaja terjun jambatan
- Empat lelaki mangsa banjir terperangkap atas pokok di Gua Musang
“Sukar menerima kenyataan yang suami sudah tiada dalam sekelip mata tetapi saya reda kerana Allah lebih sayangkan dia,” katanya.
Norlinda mengakui kini terpaksa berdikari untuk menyara anak lelaki berusia lima, lapan dan 15 tahun selepas kehilangan suaminya itu.
“Saya berharap anak juga tabah dalam menghadapi dugaan ini, saya akan memastikan pembelajaran mereka tidak terabai,” katanya.
Sementara Itu, Ketua Polis Daerah Segamat Superintendan Ahmad Zamry Marinsah berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
Beliau turut menasihati pihak yang ingin memasuki hutan simpan kekal perlu memiliki permit atau kebenaran bertulis daripada pihak berwajib sama ada di peringkat negeri atau daerah.
Leave a Reply