Seorang suri rumah dihadapkan di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tiga pertuduhan membunuh tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun pada minggu lalu.
Tertuduh, Norizan Ismail, 49, kelihatan keliru sepanjang berada di kandang tertuduh dan tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Amira Fatihah Osman.
Ibu tiga anak itu hanya memberitahu faham telah dituduh membunuh orang apabila ditanya jurubahasa mahkamah.
Berdasarkan kesemua pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan kematian Muhammad Akmal Md. Tukirin, 25; Ku Adib Aizad Ku Azmi, 20; dan Khairil Anwar Jamaludin, 20.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di Jalan Pantai berhampiran Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun di sini pada pukul 7.30 malam, 9 Oktober lalu.
Norizan didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman hukuman mati atau penjara antara 30 tahun dan 40 tahun serta hukuman minimum 12 sebatan sekiranya tidak dijatuhkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.
Mahkamah memerintahkan Norizan menjalani pemeriksaan mental di Hospital Permai Johor Bahru dalam tempoh sebulan.
Pendakwaan dikendalikan Pengarah Pendakwaan Terengganu, Azizan Abdullah manakala tertuduh pula diwakili peguam, Nur Farahin Shazlin Mohd. Reduan Shah Edwin.
Norizan seterusnya dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu untuk didakwa mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan bagi pertuduhan cubaan membunuh seorang lagi mangsa, Muhammad Ammar Danish Mohamad Ridhuan, 20
Kosmo! Jumaat lalu melaporkan tiga pelajar UiTM maut manakala seorang cedera parah apabila dua motosikal dinaiki mereka dirempuh dari arah belakang oleh kenderaan utiliti sukan (SUK) Honda CR-V dipandu Norizan.
Turut baca :
Leave a Reply