Mujur keluar awal sebelum rumah musnah sekelip mata

Tindakan seorang lelaki mengambil keputusan segera ketika hujan lebat melanda di Kampung Telok Rambong, Batu Lapan, Mukim Siong kira-kira jam 6 petang semalam, berjaya menyelamatkan nyawanya.

Mohd Naim Asri Baharom, 45, berkata hujan lebat itu mengakibatkan rumahnya musnah keseluruhan sebelum dibawa arus deras.

“Mujurlah saya keluar awal dari rumah apabila hujan mula turun kira-kira jam 6 petang.

“Dalam sekelip mata sahaja ketika hujan lebat rumah saya musnah keseluruhan dibawa arus deras,” katanya.

Mujur keluar awal sebelum rumah musnah sekelip mata

Beliau berkata, arus Sungai Putih kali ini luar biasa kerana hujan sangat lebat menyebabkan rumahnya rosak teruk.

“Inilah banjir kali kedua yang paling teruk berbanding sebelumnya kerana arus terlalu deras dan mujurlah saya sempat ke tempat selamat.

“Semua perkakas dalam rumah musnah semuanya termasuk atap runtuh dan motosikal ditenggelami selut,” katanya.

Mohd Naim berkata, dalam tempoh dua minggu sebanyak lima kali berlaku banjir tetapi rumahnya hanya dua kali dimasuki air dan kali ini paling teruk diterjah arus.

“Rumah saya hanya sepuluh meter dengan tebing sungai dan banyak kali berlaku banjir tetapi air hanya masuk paras 0.5 meter saja tetapi kali ini musnah semuanya.

“Apa pun, saya reda dengan apa yang berlaku meskipun saya selalu berjaga-jaga dan mujurlah berlaku pada waktu Maghrib dan cuaca masih cerah,” katanya.

Seorang lagi mangsa, Nuridah Setu, 48, dari Kampung Batu Lapan berkata dia berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) jam 9 malam apabila air memasuki rumahnya.

Beliau berkata, hujan lebat sejak jam 6 petang menyebabkan air Sungai Ketil melimpah dan memasuki rumahnya pada paras satu meter.

“Banjir kali kelima ini menyebabkan banyak barangan tidak dapat diselamatkan walaupun dua hari lalu rumah telah dicuci.

“Banjir kali ini paling teruk dalam tempoh 14 hari, lima kali berpindah ke PPS,” katanya.

Nuridah dan suami, Md Zaimi Md Ziki, 47, yang berpindah ke PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pari, berkata mereka sudah lali dengan banjir tetapi banjir kali ini luar biasa kerana berlaku dalam tempoh yang singkat.

“Pagi ini saya balik sekejap ke rumah untuk mengambil barang dan akan kembali semula ke PPS kerana keadaan cuaca masih gelap dan bimbang berlaku banjir,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Baling, Leftenan (PA) Mohd Faizol Ab.Aziz, berkata, setakat ini jumlah mangsa dan keluarga terbabit masih dalam bancian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM,) Baling kerana ada mangsa masih berpindah dan belum mendaftar di PPS.

Beliau berkata, antara PPS di buka iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pari, SK Siong, SK Seri Bayu, Maktab Mahmud Bongor, Surau Kampung Lahar dan Dewan Tun Abdul Razak Baling.

“Hujan lebat petang semalam menyebabkan penduduk yang sering terjejas dengan banjir mula berpindah sejak jam 7 petang semalam sehingga pagi ini.

“Kita mengarahkan mangsa keluar dengan segera ke tempat selamat kerana cuaca gelap menyukarkan anggota penyelamat untuk menyelamatkan mangsa,” katanya.

Turut baca :

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*