Mujahid bidas MCA cuba ‘tunggang’ isu larangan jualan arak di Ipoh

Seorang pemimpin Amanah menempelak MCA Perak yang cuba ‘menunggang’ isu pengharaman jualan arak selepas Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) merancang memperluas larangan ditetapkan di Manjoi ke kawasan lain.

Timbalan Presiden Amanah, Mujahid Yusof Rawa, berkata MCA tidak perlu mempolitikkan isu berkenaan semata-mata untuk meraih sokongan masyarakat bukan Melayu dalam berdepan pengaruh DAP.

“Sepatutnya MCA bersaing secara sihat untuk meraih sokongan, bukan dengan mengeksploitasi isu sensitif seperti penjualan arak.

“Janganlah kerana hendak membuktikan mereka lebih berani daripada DAP dalam hal arak menjadikan isu ini sebagai pertaruhan kerana ia berisiko menggugat keharmonian masyarakat berbilang kaum dan agama di Perak,” katanya dalam kenyataan.

Sabtu lalu, Datuk Bandar Ipoh, Rumaizi Baharin, dilaporkan berkata ada cadangan larangan penjualan arak dan minuman beralkohol diperluas ke kawasan majoriti penduduk Melayu-Islam. Buat masa ini, larangan sejak 2021 itu hanya dilaksanakan di Manjoi, bandar satelit di Ipoh.

Beliau berkata, antara cadangan diterima supaya larangan itu diperluas ke Ulu Chepor, Rapat Setia dan Kampung Sungai Rokam.

Susulan itu, MCA menyalahkan pimpinan kerajaan Perak khususnya DAP yang didakwa menyembunyikan isu sekatan penjualan arak.

Ketua Penerangan MCA Perak, Chung Kok Heung, mendesak DAP melindungi hak orang bukan Islam serta memberi penjelasan kepada orang ramai berhubung sekatan itu.

Katanya, sebarang perubahan dasar berkaitan penjualan arak mesti melalui perbincangan telus dan adil serta mempertimbangkan hak semua kumpulan etnik.

Dalam pada itu, Mujahid yang juga bekas Ahli Parlimen Parit Buntar menegur MCA membawa isu yang lebih membina untuk bersama membangunkan negeri bawah dasar Perak Sejahtera 2030.

“Sebagai parti komponen kerajaan perpaduan, MCA patut menyatukan rakyat pelbagai kaum dan agama di Perak melalui nilai politik inklusif dan progresif serta memahami sensitiviti semua kaum dan agama selaras prinsip menjunjung kedaulatan undang-undang,” katanya.

Justeru, beliau mempelawa MCA bersama menangani ketagihan arak yang kian parah dalam masyarakat, berbanding menjadikan isu sensitif itu sebagai sokongan politik murahan.

Baca juga :

‘Kantoi’ palsukan dokumen bantuan sekolah, Guru Besar didenda RM20, 000

{VIDEO} Abang rider bikin konvoi motosikal berkuasa tinggi ‘koyak’, selamba potong dilaluan mencabar

{VIDEO} Abang rider bikin konvoi motosikal berkuasa tinggi ‘koyak’, selamba potong dilaluan mencabar

Be the first to comment

Leave a Reply

Your email address will not be published.


*